Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah
Padang Tok Sheikh adalah masjid pertama di Kedah yang diasas oleh Syeikh Abdullah Al Qumairi dan muridnya Sultan Muzaffar Shah
Padang Tok Sheikh adalah masjid pertama di Kedah yang diasas oleh Syeikh Abdullah Al Qumairi dan muridnya Sultan Muzaffar Shah
ADA yang berpendapat bahawa tokoh penyebar Islam di Aceh yang juga penyusun kitab Bahr Al-Lahut iaitu Syeikh Abdullah Arif adalah sahabat kepada tokoh ulama yang diperkenalkan pada kali ini.
Namun ada pula berpendapat bahawa kedua-dua Syeikh Abdullah ini adalah orang yang sama.
Syeikh Abdullah Arif di Aceh dikatakan berada di Aceh sekitar tahun 560H/1165M-1177M, sedangkan Syeikh Abdullah al-Qumairi ini atau nama lengkapnya Tuan Syeikh Abdullah bin Tuan Syeikh Ahmad bin Tuan Syeikh Ja’far Qumairi berasal dari Syahir Yemen dan tiba di Kedah tahun 531 H.
Kisah lengkap Syeikh Abdullah al-Qumairi yang lengkap diriwayatkan oleh Muhammad Hassan bin Muhammad Arsyad dalam al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah. Ia ditransliterasi dari tulisan Melayu/Jawi kepada Latin/Rumi dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka tahun 1968.
Menurut Buyong Adil dalam Sejarah Kedah (Terbitan DBP, 1980), kedatangan Syeikh Abdullah ke Kedah tahun 531H itu bersamaan dengan tahun 1136M. Menurut Bahayuddin Haji Yahaya dalam Naskhah Jawi, tahun 531H itu bersamaan dengan tahun 1137M.
Diriwayatkan bahawa Syeikh Abdullah al-Qumairi adalah seorang ulama yang berasal dari Yaman dan datang bersama-sama dengan 11 orang sahabatnya.
Dalam buku Sejarah Kedah Sepintas Lalu (Diterbitkan oleh Jawatankuasa Penerbitan Universiti Utara Malaysia, cetakan pertama 1987 hlm 10) oleh Haji Ibrahim Ismail, disebutkan dalam Hikayat Merong Maha Wangsa bahawa Syeikh Abdullah al-Yamani (berkemungkinan maksudnya Syeikh Abdullah al-Qumairi al-Yamani) adalah murid kepada Syeikh Abdullah di Baghdad.
Jika disemak dengan teliti kandungan buku tersebut, penulis menyimpulkan Islam datang ke Kedah jauh lebih awal daripada kedatangan Syeikh Abdullah al-Qumairi.
Ini kerana dinyatakan dalam buku tersebut bahawa sesudah merdeka ditemui sebuah nisan di Langgar, Kedah yang berinskripsikan nama Syeikh Abdul Qadir ibnu Husein Syah Alirah/Alam dan tarikhnya 291H bersamaan 903M. Haji Ibrahim Ismail memetik dari kertas kerja berjudul ‘Sejarah Kedah Dalam Kebangkitan Islam’ (1982) oleh Ismail bin Haji Salleh.
Selain itu, ia juga disebut oleh Abdullah Abbas Nasution dalam Islam 14 Abad dan manuskripnya diserahkan kepada penulis. Lihat juga Pengiran Haji Muhammad bin Pengiran Haji Abd. Rahman dalam Islam di Brunei Darussalam, cetakan Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei, cetakan pertama, 1992, halaman 30.
Mendahului
Melihat kepada perbandingan tahun kedatangan di antara kedua-dua tokoh ini iaitu Syeikh Abdullah Arif di Aceh (560H/1165M) dengan Syeikh Abdullah al-Qumairi berserta 11 orang sahabatnya di Kedah, ini bermakna Syeikh Abdullah al-Qumairi di Kedah mendahului kedatangan Syeikh Abdullah Arif di Aceh lebih kurang 29 tahun.
Namun apabila dibandingkan pula dengan tarikh batu nisan Syeikh Abdul Qadir ibnu Husein Syah Alirah di Langgar, Kedah pada tahun 291H/903M dengan tulisan M. Junus Djamil yang menyebut bahawa kerajaan Islam telah lahir di Perlak tahun 225H/840M, yang dilihat perbezaannya adalah lebih kurang 66 tahun.
Oleh itu, apabila dilihat tahun-tahun tersebut perbezaannya tidak jauh. Walaupun dinyatakan oleh Haji Ibrahim Ismail bahawa kerajaan itu lebih kurang 300 tahun lebih awal dari kewujudan Kedah (Lihat Sejarah Kedah Sepintas Lalu, halaman 18).
Menurut buku Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah dan dipetik oleh Buyong Adil bahawa Syeikh Abdullah al-Qumairi dan 11 orang sahabatnya telah berhasil mengislamkan Raja Kedah yang kesembilan, iaitu Maharaja Derbar/Durbar Raja II yang ketika itu berkedudukan di Istana Bukit Meriam.
Namun, dalam Hikayat Merong Maha Wangsa, bukan raja yang kesembilan, tetapi adalah raja yang ketujuh. Nama raja juga berbeza, raja Kedah menurut hikayat tersebut bernama Phra Ong Maha Wangsa.
Nama baginda raja itu juga ditukar oleh Syeikh Abdullah al-Qumairi dari Maharaja Derbar/Durbar Raja II @ Phra Ong Maha Wangsa menjadi Sultan Muzaffar Syah I(mangkat pada 13 safar 575 Hijrah / 1179 M). Negeri Kedah pula diberi nama Kedah Darul Aman.
Pada hari pengislaman raja Kedah itu turut diislamkan pembesar-pembesar istana. Ini bererti dilakukan pengislaman secara massal.
Pengislaman terhadap rakyat pula diatur strategi bersama-sama di antara Syeikh Abdullah al-Qumairi berserta 11 orang sahabatnya, bahkan disertai Sultan Muzaffar Syah I sendiri. Dalam waktu yang singkat dan cepat, hasil kerjasama yang padu dan sepakat antara ulama (Syeikh Abdullah al-Qumairi) dengan umara (Sultan Muzaffar Syah I) tersebut, maka rakyat Melayu yang asal dalam kerajaan Kedah Darul Aman serta merta memeluk Islam kesemuanya.
Ini membuktikan kejayaan dakwah dan pendidikan Islam yang dijalankan oleh Syeikh Abdullah al-Qumairi yang benar-benar ikhlas dan bertanggungjawab.
Oleh itu, secara langsung Syeikh Abdullah al-Qumairi adalah sebagai guru kepada Sultan Muzaffar Syah I, malah guru bagi pihak keluarga istana Sultan Kedah Darul Aman. Oleh kerana sangat kasih dan hormat Sultan Muzaffar Syah I kepada Syeikh Abdullah al-Qumairi, baginda melantik ulama tersebut sebagai orang tua dan penasihatnya.
Untuk mengembangkan lagi dakwahnya, Syeikh Abdullah al-Qumairi menyarankan supaya dibina sebuah menara sebagai tanda kebesaran Islam di puncak Gunung Jerai. Menara tersebut dijadikan sebagai tempat azan, untuk menyeru orang sembahyang. Maka, Sultan Muzaffar Syah I memerintahkan supaya dilaksanakan saranan ulama tersebut.
Wasiat
Setelah binaan menara tersebut hampir siap, Syeikh Abdullah al-Qumairi jatuh sakit dan ditakdirkan meninggal dunia beberapa hari selepas itu. Sebelum wafat, beliau sempat meninggalkan wasiat agar jenazahnya dikebumikan di tanah yang rata berdekatan dengan menara yang hampir siap itu. Sekitar kubur beliau itu dinamakan orang dengan Padang Tok Syeikh.
Tuan Guru Haji Mahmud Nasri bin Utsman (tokoh yang menghidupkan Silat Abjad), pernah bercerita kepada murid-muridnya bahawa seorang wali Allah yang sangat terkenal iaitu Syeikh Abdul Qadir al-Jilani pernah menziarahi kubur Syeikh Abdullah al-Qumairi beberapa kali. Beliau juga pernah sembahyang di tempat tanah lapang di Gunung Jerai itu.
Kisah mengenai Syeikh Abdul Qadir al-Jilani pernah menziarahi kubur Syeikh Abdullah al-Qumairi itu dapat diterima akal kerana wali Allah tersebut wafat dalam tahun 561H/166M sedangkan Syeikh Abdullah al-Qumairi wafat dalam sekitar tidak berapa lama setelah kedatangannya di Kedah itu (531H/1136M atau 1137M).
Mengenai Syeikh Abdullah Al-Qumairi
* Datang ke Kedah pada tahun 1136 atau 1137.
* Berasal dari Yemen.
* Mengislamkan maharaja Derbar/Durbar II di Istana Bukit Meriam.
* Menukar nama Raja kepada Sultan Muzaffar Shah I.
* Guru Sultan Muzaffar Syah I.
* Memberi nama Kedah Darul Aman.
* Mengarahkan dibina menara kebesaran Islam untuk azan di Gunung Jerai.
No comments:
Post a Comment