HIMPUNAN ULAMA THURATH SIRI 3

Tuesday, April 16, 2024

Faedah umrah catatan Tuan Guru Baba Khairul Anuar

 Bab umrah faedah dari catatan Tuan Guru Baba Khairul Anuar :


بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله وكفى ، والصلاة والسلام على سيدنا محمد المصطفى ، وعلى آله أهل التقى .

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته.


Sedikit perkongsian khususnya untuk para sahabat yang menyertai program umrah syawal ini .


Umrah: 

Dari segi sudut bahasa maknanya ialah ziarah atau melawat atau melancong atau mengunjung pada satu tempat.

Adapun makna umrah pada istilah syarak maka iaitu menuju ke Baitullah kerana mengerjakan nusuk, yakni datang seseorang dari negerinya ke Baitullah Mekah kerana mengerjakan segala rukun umrah dan segala yang umrah.


Perkara-perkara yang berkaitan dengan umrah ialah :

1) Rukun umrah

2) Wajib-wajib umrah

3) Sunat-sunat umrah


Makna rukun ialah perkara yang tidak sah umrah jika tidak mengerjakan dan tidak menunaikannya , bahkan tak dapat tidak mesti menunaikan.


Rukun-rukun umrah:

1) Niat ihram umrah

2) Tawaf di Baitullah tujuh pusingan

3) Sa'i antara sofa dan marwah tujuh pusingan

4) Bercukur atau menghilangkan sekurang-kurangnya tiga helai rambut di kepala

5) Tertib segala rukun .


Wajib umrah:

1) Ihram pada miqat 

2) Menjauhkan diri dari segala yang diharamkan dan yang dilarang dalam masa ihram .

Makna wajib umrah ialah perkara yang sah umrah jika tidak dikerjakan dan wajib bayar dam apabila meninggalkan dengan sengaja tanpa ada keuzuran.


Sunat-sunat ihram:

Adapun sunat-sunat ihram itu terlalu banyak. 

Antaranya ialah tawaf qudum dan talbiyah dan doa dan lain lain.


PERHATIAN : Penting sangat diketahui dan difahami dan diingati.


PERBEZAAN ANTARA RUKUN UMRAH DAN WAJIB UMRAH DAN SUNAT UMRAH .


RUKUN ialah perkara yang tidak sah umrah jika tidak dikerjakan dan tidak boleh digantikan dengan bayar DAM apabila ditinggalkan.Bahkan tidak dapat tidak mesti dilakukan juga.


WAJIB ialah perkara yang sah umrah jika tidak dikerjakannya, tetapi wajib dibayar DAM apabila ditinggalkan dan berdosa oleh orang yang meninggalkannya dengan sengaja tanpa ada keuzuran.


SUNAT ialah perkara yang tidak mengapa dan tidak berdosa dan tidak wajib bayar DAM apabila ditinggalkan, cumanya kurang pahala umrah dan luput fadilatnya dan rugi yang amat besar apabila meninggalkannya.


Siri 2 :


PERKARA-PERKARA YANG YANG DILARANG ( YANG DIHARAPKAN ) DALAM IHRAM (apabila seseorang itu sudah berniat ihram ).


Ketahuilah bahawa SEGALA PERKARA YANG DILARANG DALAM IHRAM ini adalah salah satu daripada wajib umrah .

Maka perkara perkara yang dilarang itu ada sembilan: 


1) Haram ke atas lelaki memakai sesuatu yang meliputi sekelian badannya atau sejuzuk daripada badannya.

Maka haram atas lelaki menutup kepalanya atau separuhnya dengan sesuatu yang dinamakan menutup pada uruf seperti kopiah dan sebagainya. 

Dan harus bagi lelaki berteduh dibawah payung atau seumpamanya dan meletakkan tangan di atas kepalanya atau menyelam dalam air dan sebagainya.

Dan haram atas' perempuan itu menutup mukanya atau separuhnya dengan sesuatu yang dinamakan menutup pada uruf .

Maka harus menanyakan tangan atas mukanya dan harus menutup wajahnya dengan kain yang renggang kan daripada mukanya dengan umpama kayu atau lidi.

Maka haram atas lelaki dan perempuan sarung tangan dan seumpamanya dan haram juga memakai kasut yang tertutup pada tumitnya atau pada anak jarinya tetapi harus memakai jika tidak dapat kasut yang lain , tetapi dengan syarat dipotong atau dikerat kasut itu pada tumitnya.

2) Haram menghilangkan bulu dengan cukur atau gunting atau cabut atas lainnya.

3) Haram menghilangkan kuku dengan kerat atau lainnya.

4) Haram memakai dan menggunakan sebarang minyak pada rambut kepala atau pada bulu muka dengan sengaja .

5) Haram memakai semula jenis bauan.seperti kasturi dan Zafran dan gaharu dan minyak atar dan sebagainya , sama ada dipakai pada zahirnya atau batinnya, sama ada dipakai pada pakaian atau hamparan.

6) Haram mengerjakan mukadimah jimak seperti mengucup perempuan isteri ) atau memeluknya atau menyentuhnya dengan syahwat.

7) Haram jimak sama ada pada qubul atau dubur pada lelaki dan perempuan atau binatang.

8) Harap akad nikah bagi dirinya atau bagi lainnya, sama ada ijab atau qabul dan tidak sah akad nikah itu .

9) Haram memburu binatang darat yang liar yang halal dimakan dan haram juga membunuhnya atau membelinya atau meminjamnya dan sebagainya.


KETERANGAN RINGKAS ATAS RUKUN-RUKUN UMRAH :

(1) NIAT IHRAM

Niat ihram yang Afdhal ialah ditentukan ihramnya dengan di niatkan dalam hatinya mengerjakan umrah dan sunat disebutkan lafaz niat itu dengan lidahnya seperti katanya: 

نويت العمرة وأحرمت بها لله تعالى 

Maksudnya: sahaja aku mengerjakan umrah dan ihramlah aku dengannya kerana Allah taala.


Adapun jika seseorang itu mengerjakan umrah Badal ( umrah ganti ) daripada orang lain maka lafaz niatnya seperti ini : ( نويت العمرة عن فلان بن فلان وأحرمت بها عنه لله تعالى ) maksudnya: sahaja aku mengerjakan umrah ganti daripada fulan bin fulan dan ihramlah aku dengannya ganti daripadanya kerana Allah taala.


(2) TAWAF DI BAITULLAH

Ketahuilah bahawa tawaf itu ada tujuh bahagi :

1) tawaf qudum

2) tawaf umrah dan dikatakan juga tawaf rukun umrah

3) tawaf ifadhoh dan dinamakan juga tawaf fardhu dan tawaf rukun dan tawaf haji 

4) tawaf Wida'

5) tawaf tatawwu' atau tawaf sunat

6) tawaf tahallul

7) tawaf nazar .


SYARAT-SYARAT SAH TAWAF : 

Syarat-syarat dah tawaf ada lapan :

1) menutup aurat seperti dalam sembahyang.

2) suci daripada hadas kecil dan besar dan suci daripada najis yang tidak dimaafkan, sama ada pada tubuh badan dan pakaian dan tempat tawaf .

3) dimulakan tawaf dari Hajar Aswad serta berbetulan baginya dengan sekelian rusuk kirinya.

4) di jadikan Kaabah itu pada pihak kirinya pada sekelian tawaf .

5) adalah semua tawaf itu di dalam masjid.

6) di niatkan tawaf seperti berlafaz  : ( نويت أن أطوف بهذا البيت سبعا كاملا لله تعالى ) artinya : sahaja atas tawaf pada Kaabah ini tujuh pusingan yang cukup kerana Allah taala.

Ini jika tawaf itu lain daripada tawaf umrah seperti tawaf sunat dan lain lain lagi.

Adapun Tawaf Rukun umrah maka tak syarat niat kerana sudah termasuk dalam niat umrah , hanya sunat sahaja berlafaz niat .

Ringkasnya ialah begini iaitu niat tawaf rukun umrah adalah SUNAT dan niat. Tawaf sunat adalah WAJIB .

7) jangan palingkan niat dan ubah niat  tawaf itu kepada yang lainnya .

8) tawaf itu mesti cukup tujuh keliling tujuh pusingan dengan yakin dan sempurna.


Apabila sudah selesai mengerjakan tawaf maka sembahyang sunat tawaf dua rakaat dan berdoa, kemudian keluar ia daripada bab as-sofa segera pergi ke tempat sa'i.

Maka perkara yang wajib dikerjakan atas orang yang mengerjakan umrah itu ada empat perkara: 

1) di mulakan sa'i nya daripada sofa dan disudahi pada Marwah.

2) sa'i nya itu mesti sempurna dan cukup tujuh pusingan dengan yakin .

3) mesti sa'i itu pada mas'a ( tempat sa'i ) .

4) mesti berlaku sa'i itu selepas sempurna tawaf rukun umrah.


TAHALLUL : 

Apabila sudah selesai sa'i maka bercukurlah.

Sekurang kurangnya bercukur itu ialah menghilangkan tiga helai rambut kepalanya atau bergunting rambut kepalanya .


TERTB PADA SEGALA RUKUN : 

Tertib pada segala rukun itu ialah ia mendahului Niat ihram atas sekelian rukun yang lainnya, kemudian ia Tawaf di Baitullah tujuh pusingan yang sempurna , kemudian ia pergi sa'i antara sofa dan marwah tujuh pusingan yang sempurna, kemudian ia bercukur.

Maka apabila ia mengerjakan semua perkara ini maka jadilah ia halal.

Maka dengan ini selesai lah huraian dan keterangan ringkas mengenai rukun rukun umrah.

IN Sya ALLAH UMRAH MABRURAH.


Siri ke 4 : 

PERINGATAN PENTING:


Sayugia dan sewajarnya bagi orang-orang yang hendak mengerjakan umrah bahawa ia mengamati ( ambil berat ) pada RUKUN-RUKUN UMRAH   dan WAJIB-WAJIB UMRAH dan ia menjauhkan SEGALA PERKARA YANG DILARANG DALAM IHRAM dan sayugia ia beramal dengan SUNAT-SUNATNYA .

Maka SUNAT membanyakkan mengerja umrah kerana sabda Nabi Muhammad saw: ( العمرة إلى العمرة كفارة لما بينهما )

Maksudnya: mengerjakan satu umrah kepada satu umrah itu menghilangkan dan mengkifaratkan dosa antara keduanya.

Maka lebih-lebih lagi jika mengerjakan umrah pada bulan Ramadhan kerana sabda Nabi Muhammad saw : ( عمرة فى رمضان تعدل حجو معي ) 

Artinya: satu kali umrah di bulan Ramadhan menyamai satu haji bersama aku.


Siri ke 5 :

BEBERAPA HIKMAH UMRAH.


Ketahuilah bahawa ada pada UMRAH itu beberapa hikmah dan manfaat pada akhirat dan dunia.

Adapun manfaat dan hikmah bagi akhirat itu ialah ada pada pekerjaan umrah itu ZIKIR dan ISTIQFAR dan DOA dan menzahirkan sifat KEHAMBAAN bagi ALLAH SWT dengan rupa hina dan rendah diri.

Adapun hikmah dan manfaat dunia itu pun banyak juga , antaranya:

1) dapat berkenal-kenalan sesama Islam.

2) dapat bertukar-tukar pandangan.

3) dapat tolong menolong sesama sendiri.

4) dapat bersilaturahim

Dan banyak lagi.


Dan ketahuilah bahawa ada pada pekerjaan umrah itu menzahirkan KEHAMBAAN atau PERHAMBAAN kepada ALLAH SWT dan syukur nikmat TUHAN.

Adapun menzahirkan KEHAMBAAN itu iaitu menyatakan kehinaan dan kerendahan dan kehinaan diri bagi TUHAN YANG MAHA KUASA kerana orang yang sedang mengerja untuk umrah itu pada masa ihramnya nyata lah kusut rambutnya dan berdebu mukanya dan tidak ada sebarang perhiasan pada tubuhnya dan menyerupai seorang hamba sahaya yang bersalah dan berdosa maka menzahir ia akan kesalahannya dan mengakui kesalahannya supaya TUHAN kasihaninya dan ampun dosanya dan mencucuri Rahmat NYA.


Adapun syukur nikmat iaitu menggunakan nikmat menggunakan nikmat pada berbuat taat kepada PEMBERI NIKMAT ( ALLAH SWT ) kerana bahawa sanya ibadat itu adakalanya dengan badan dan adakalanya dengan harta maka mengerja umrah itu ialah ibadat dengan badan dan harta maka adalah pekerjaan umrah itu syukur dua nikmat iaitu nikmat badan dan nikmat harta dan telah maklum bahawa syukur nikmat itu wajib .


ANTARA HIKMAH DAN AMALAN BATIN BAGI UMRAH.

1) Tawaf pada Baitullah itu ialah semata-mata mengingatkan TUHAN dan menjunjung perintahNYA dan memohon keampunan dan rahmatNYA.

Ketika kita Tawaf itu ada kita seumpama dengan malaikat Muqarrabin yang mengelilingi Arasy .

2) Sa'i berulang ulang antara sofa dan marwah itu menyerupai dengan seorang hamba yang berulang ulang pergi balik di hadapan raja supaya raja itu memandangnya dengan pandangan rahmat yakni kita mengharapkan rahmat Allah SWT.

Dan lain-lain lagi.


Dengan ini selesai lah sedikit dan ringkas perkongsian mengenai pekerjaan umrah mudah mudahan kita semua mendapat umrah mabrurah dan mendapat pandangan rahmat Allah SWT


Siri 6 : 

BEBERAPA KELEBIHAN MAKKAH DAN KEISTIMEWAAN MENDUDUKINYA.


BEBERAPA AYAT AL-QURAN AL KARIM MENGENAI KELEBIHAN MAKKAH AL MUKARRAMAH.


Ketahuilah wahai saudara saya bahawa Allah Swt memuliakan Makkah melebihi negeri negeri yang lainnya.

Allah swt juga menurunkan sebutannya dalam KitabNYA yang mulia pada banyak tempat , antaranya Firman Allah Ta'ala dalam surah AL Imran ayat 96-97 

( إن أول بيت وضع للناس الذي ببكة مباركا وهدى للعالمين . فيه آيات بينات مقام إبراهيم ، ومن دخله كان آمنا ) 

Maksudnya: Sesungguhnya rumah ibadah yang mula mula dibina untuk manusia beribadah kepada Tuhannya ialah Baitullah yang berada di Makkah yang berkat dan dijadikan petunjuk hidayah bagi umat manusia. Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata yang menunjukkan kemuliaannya antaranya ialah Maqam Nabi Ibrahim A's. Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya nescaya aman dan tenteramkan dia .


Firman Allah Ta'ala: 

( وإذ قال إبراهيم رب اجعل هذا بلدا آمنا وارزق أهله من الثمرات من آمن بالله واليوم الآخر ) 

Surah AL Baqarah ayat 126 .

Maksudnya: 

Ingatlah ketika Nabi Ibrahim A's berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku , jadikanlah negeri Makkah ini negeri yang aman sentosa dan kurniakanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya iaitu orang orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat.


Firman Allah Ta'ala dalam surah al-Baqarah ayat 125 

( وإذ جعلنا البيت مثابة للناس وأمنا واتخذوا من مقام إبراهيم مصلى ) 

Maksudnya: Dan ingatlah ketika Kami jadikan Rumah Suci ( Baitullah) itu tempat tumpuan bagi umat manusia untuk beribadah dan tempat yang aman dan jadikanlah oleh kamu akan Maqam Ibrahim itu tempat solat.

Dan banyak lagi ayat ayat AL quran yang menunjukkan atas kelebihan dan keistimewaan Makkah yang Allah Ta'ala turunkan kesemuanya kepada Makkah secara khusus dan Allah Ta'ala tidak menurunkan ayat ayat itu pada negeri negeri yang lainnya.


SIRI 7 : 

BEBERAPA HADITH MENGENAI KELEBIHAN MAKKAH MUKARRAMAH.


Ketahuilah wahai saudara ku bahawa RASULULLAH SAW ketika keluar dari Makkah, Baginda saw berdiri di atas sebuah bukit kecil sambil menghadap Ka'bah dan bersabda: 

والله إني لأعلم أنك أحب بلد الله إلي وأنك أحب أرض الله إلى الله عز وجل وانك خير بقعة على وجه الأرض وأحبها إلى الله تعالى ، ولو لا أن أهلك أخرجوني منك ما خرجت .

Maksudnya: 

Demi Allah, sesungguhnya aku tahu bahawa engkau adalah negeri Allah yang paling aku cintai, sesungguhnya engkau adalah bumi Allah yang paling Allah cintai, sesungguhnya engkau adalah tempat yang paling baik di muka bumi dan tempat yang paling Allah cintai. Sekiranya pendudukmu tidak mengusirkan aku daripadamu nescaya aku tidak akan keluar.


Rasulullah saw pernah bersabda: 

خير بلدة على وجه الارض وأحبها إلى الله تعالى مكة 

Maksudnya: Negeri yang paling baik di atas muka bumi dan yang paling dicintai Allah ialah Makkah.


Rasulullah saw bersabda lagi:

دحيت الأرض من مكة فمدها الله تعالى من تحتها فسميت أم القرى 

Maksudnya: Dihamparkan bumi ini dari Makkah, maka Allah Ta'ala meluaskannya bermula dari Makkah, lalu dinamakan Ummu AL qura.


Banyak lagi Hadith hadith dan athar athar yang menunjukkan atas kelebihan dan keistimewaan Makkah.


Maka rebutlah peluang kebaikan ini keseluruhannya wahai saudara saudari ku dan jangan sekali-kali ia terlepas daripada kamu.

Wassalam.


In Shaa Allah selepas ini akan kita kongsi pula mengenai ziarah Rasulullah saw dan ziarah Madinah


siri ke 8

ZIARAH RASULULLAH SAW 


Firman Allah Ta'ala dakam surah an nisa' ayat : 64


ولو أنهم إذ ظلموا أنفسهم جاؤوك فاستغفروا الله واستغفر لهم الرسول لوجدوا الله توابا رحيما 


Maksudnya : Kalaulah mereka menzalimi diri mereka sendiri  , mereka datang kepada Engkau ( wahai Rasulullah ) dan mereka memohon keampunan kepada Allah dan Rasul juga memohon keampunan untuk mereka , pastilah mereka mendapati Allah Ta'ala itu Maha Penerima taubat lagi Naha Pengasih .


Sabda Rasulullah saw :


من زار قبري وجبت له شفاعتي 


Maksudnya : Barangsiapa yang menziarahi kuburku nescaya wajiblah baginya syafaatku .


Rasulullah saw bersabda lagi : 

من زارني بعد موتي فكأنما زارني فى حياتي 

Maksudnya : Barangsiapa yang menzirahiku selepas wafatku maka seolah-olahnya ia menziarahiku masa hidupku .


Baginda Nabi saw bersabda lagi : 


من زارني بالمدينة محتسبا , كنت له شفيعا وشهيدا يوم القيامة 


Maksudnya : Barangsiapa menziarahiku di Madinah kerana mengharapkan ridha Allah nescaya Aku akan menjadi saksi baginya dan Aku yang akan beri syafaat untuknya pada hari kiamat .

Tersebut dalam kitab Tafsir Ibnu Kathir : 

Sesungguhnya telah menyebut oleh Jamaah Ulama tafsir , maka di antara mereka ialah Al-syeikh Abu Mansor Al-sobbaq dalam kitabnya   * Al-Syamil * akan satu hikayat daripada Al-utbi ia berkata : Tatkala aku berada di sisi Maqam Rasulillah saw datang seorang lelaki a'rabi lalu berkata : 


السلام عليك يا رسول الله 


aku telah mendengar Allah Ta'ala berfirman : 


ولو أنهم إذ ظلموا أنفسهم جاؤوك فاستغفروا الله واستغفر لهم الرسول لوجدوا االه توابا رحيما 

( telah lalu maknanya ) 

maka berkata a'rabi itu : aku benar benar datang untuk bertaubat daripada dosa dosaku serta memohon syafaat denganmu kepada Tuhanku , kemudian ia menangis sambil berkata : 


يا خير من دفنت بالقاع أعظمه 

       فطاب من طيبهن القاع والأكم 

نفسي الفداء لقبر أنت ساكنه 

      فيه العفاف وفيه الجود والكرم


maksudnya : Wahai manusia yang terbaik , yang jasadnya di kebumikan di lembah ini , alangkah agongnya Baginda , menjadi harumlah tanah dan bukit kerananya , jiwaku menjadi tebusan bagi kubur yang tempati , di dalamnya ada kesucian , kemurahan da kemulian .


kemudian a'rabi itu pun berlalu dari situ .

Berkata utbi : maka tiba-tiba mataku terlelap , lalu aku melihat Rasulallah saw dalam tidurku dan Rasulullah saw bersabda : Wahai utbi : jejaklah a'rabi itu dan sampaikanlah berita gembira kepadanya bahawa Allah Ta'ala telah mengampuninya .


Inilah beberapa kelibihan ziarah Rasulullah saw .

Peliharalah adab-adab ketika menziarahi Rasulallah saw .

Sentiasalah dalam berwuduk , perbanyakkanlah berselawat dan lain-lainnya .


siri ke 10 : 

KELEBIHAN MADINAH


Diantara Kelebihan-kelebihan Madinah Rasulillah saw ialah doa Baginda saw untuk Ahli Madinah dan menjadikan Madinah itu Tanah Haram .

Bahawa Rasulullah saw solat di Tanah Sa'ad ibn Abi Waqqas di kaki bukit Harrah di Buyut Suqya , kemudian Baginda saw berdoa : 


اللهم إن إبراهيم عبدك وخليلك ونبيك دعاك لأهل مكة ,  وإن محمدا عبدك ونبيك ورسولك دعاك لأهل المدينة بمثل ما دعاك به إبراهيم عليه السلام لأهل مكة ,  يدعوك أن تبارك لهم فى صاعهم وفي مدهم وفى ثمارهم .

اللهم حبب إلينا المدينة كما حببت إلينا إلينا مكة ,  واجعل ما بها من الوباء بخم , 

اللهم إني قد حرمت لابيتها كما حرمت على لسان إبراهيم عليه السلام الحرم .


Maksudnya : Ya Allah , sesungguhnya Ibrahim HambaMu KekasihMu dan NabiMu telah berdoa kepadaMu untuk penduduk Makkah dan sesungguhnya Muhammad HambaMu Nabi dan RasulMu berdoa kepadaMu untuk penduduk Madinah seperti doa yang didoakan oleh Ibrahim untuk penduduk Makkah .

Ibrahim berdoa kepadaMu agar Engkau merberkati mereka pada cupak , gantang dan buah-buahan mereka .

Ya Allah , kurniakanlah kecintaan kepada kami terhadap Madinah sepertimana Engkau mengurniakan kepada kami terhadap Makkah dan pindahkanlah wabak penyakit yang ada di Madinah ke khum ( satu tempat di antara Makkah dan Madinah yang dipindahkan penyakit padanya ) .

Ya Allah . sesungguhnya aku jadikan tanah yang terdapat di antara dua kawasan berbatu hitam ini ( Madinah ) sebagai Tanah Haram , sepertimana Engkau telah menjadikan Makkah atas lisan Ibrahim sebagai Tanah Haram .


KELEBIHAN BUKIT UHUD : 

Berkata Ibnu Juraij : Daripada 'Amri ibn Abi 'Amri dari Anas beliau bekata : Telah kelihatan bukit Uhud pada kami ketika kami bersama Rasulillah saw maka Baginda bersabda : 


هذا جبل يحبنا ونحبه 


Maksudnya : Inilah bukit yang mencintai kami dan kami mencintainya .


Rasulullah saw pernah bersabda : 


المدينة أفضل من مكة 


Maksudnya : Madinah lebih afdhal daripada Makkah .


Baginda Nabi Saw bersabda lagi : 

المدينة مشبكة بالملائكة , على كل نقب منها ملك يحرسها 


Maksudnya : Madinah itu dinaungi dengan Para Malaikat , pada setiap jalannya terdapat Malaikat yang menjaganya .


Di antara kelebihan Madinah lagi ialah tidak akan memasukinya taun dan dajjal , sepertimana sabda Rasulillah saw : 


لا يدخلها - يعنى المدينة - الطاعون ولا الدجال 


Maksudnya : Tidak memasuki Madinah itu taun dan dajjal .


Dalam riwayat lain Nabi saw bersabda : 


على أنقاب المدينة ملائكة لا يدخلها الطاعون ولا الدجال 


Ertinya : Pada jalan-jalan Madinah terdapat para Malaikat , Tidak akan memasukinya taun dan dajjal .


Dan banyak lagi kelebihan kelebihan dan keistimewaan Madinah yang Al-faqir tak dapat nak sebutkan semuanya , maka memadailah sekadar ini untuk perkongsian kita bersama dalam Rehlah Ukhuwwah kita untuk ziarah Rasulillah saw dan Madinah  Al-Rasul dan mengerja ibadat umrah .

Biar buat suatu itu dengan ada ilmu pengetahun baru ada penghayatan .

jika ada salah silap terkasar bahasa tersalah kata dalam penulisan maka diharap maaf banyak banyak .


Minta pihak yang berkenaan tollong peringatkan ahli jamaah ahli grup ini mengenai perjalanan kita supaya tidak lupa .

mohon maaf .


وبالله التوفيق والهداية والعناية 

السلام عليكم ورحمة الله 


عمرة مبرورة وتجارة لن تبور وزيارة مقبولة مباركة 

اللهم ٱمين









No comments:

Post a Comment