HIMPUNAN ULAMA THURATH SIRI 3

Sunday, March 26, 2017

Pondok dan ulama di Kedah

Maksud pondok di sini ialah pusat pengajian agama melalui satu sistem pendidikan di kalangan orang-orang Melayu yang pernah wujud setelah mereka menerima agama Islam. Di Kedah, Islam menjadi agama rasmi dalam tahun 531 Hijrah bersamaan tahun 1136 Masihi. Syeikh Abdullah al Yamani mengajarkan dua kalimah syahadat kepada Raja Kedah, Phra Ong Maha Wangsa atau Raja Derbar Raja dan menukarkan nama baginda menjadi Sultan Muzaffar Syah.
Agama Islam diperkembangkan oleh guru-guru agama Islam yang dikenali sebagai makhdum, maulana, syeikh atau lebai di segenap pelosok negeri. Orang Kedah masih menggambarkan zaman awal perkembangan agama ini sebagai zaman "dum makdum" maksudnya zaman yang ramai dengan makhdum - iaitu pendakwah dari Iran. Zaman dum 'makdum' maksudnya zaman yang amat lama berlalu.
Di zaman awal Islam, penganut-penganutnya diajar membaca al-Quran di rumah sendiri, di rumah guru, di surau atau di masjid, di Langgar atau di 'madrasah'. Selain dari membaca dan menghafaz ayat-ayat al - Quran, penganut Islam didedahkan juga dengan pengajaran-pengajaran atau hukum-hukum asas yang fardhu dan asas-asas ilmu tauhid, tafsir dan hadith.
Peluang untuk mendalami ilmu agama bagi yang berminat dan berkebolehan tidak disekat atau dihalang - maka terdapatlah orang-orang Melayu yang mendalami ilmu tarikat dan tasawuf. Orang-orang yang menjadi ahli tasawuf amat dihormati oleh masyarakat. Syeikh-syeikh atau maulana tarikat ini mengajar bagaimana beratib, berzikir dan bersuluk.
Seseorang penganut Islam tidak merasai lengkap Islamnya jika tidak menunaikan fardhu haji. Jadi, seseorang Islam berasa perlu mengetahui dan menyedari wujudnya umat Islam di muka bumi ini selain dari orang-orang Islam di tempatnya sahaja.
Orang-orang Melayu yang berangkat ke Makkah ramai pula yang tinggal "menahun" bertahun-tahun di sana kerana menuntut ilmu agama dan meningkatkan diri menjadi ulama supaya boleh menjadi guru apabila pulang ke tanah air kelak. Ada pula yang melanjutkan agama ke Kaherah, Damsyik dan Baghdad. Biasanya orang-orang Melayu dahulu akan membentuk diri mereka menjadi 'lebai' sebelum menjadi haji atau ulama.
Asalnya perkataan 'lebai' ini ialah nama suatu kaum di India Selatan. Kaum "Labbai" ini beragama Islam dan bertalian darah dengan orang Arab. Orangnya kuat beribadat dan pandai berniaga. Sebilangan kecil dari mereka telah datang ke Kepulauan Melayu dan bercampur -baur dengan orang-orang tempatan. "Labbai" itu dilekatkan pada nama mereka umpamanya Ahmad Labbai bin Sultan Labbai. Sesiapa sahaja yang alim dengan ilmu agama tetapi belum menunaikan fardhu haji di Makkah, semuanya digelarkan 'lebai' oleh orang-orang Melayu. Orang-orang yang menerima pendidikan di pondok-pondok semuanya digelar "Lebai"

Untuk menjadi "lebai" seseorang hendaklah belajar ilmu agama bersungguh-sungguh dari guru yang alim. Memangnya tidak ada catatan di manakah mulanya tempat belajar agama di Kedah ini sungguhpun terdengar ramai nama-nama ulama disebut orang.
Pada tahun 1821 Negeri Kedah telah diserang oleh Thai dan Thai menjajah negeri ini sehingga 1842. Apabila Kedah dibebaskan semula dari belenggu Thai pada 1842, sebahagian dari Wilayahnya telah direpis untuk membentuk beberapa buah negeri kecil dan di antaranya ialah negeri Kubang Pasu.
Raja Thai menabalkan Tunku Anum menjadi Raja di Kubang Pasu sejak 1839 dan Tunku Anum berusaha memperolehi seorang mufti membantunya memerintah Kubang Pasu tersebut. Tunku Anum dapati sebuah pusat pengajian agama secara pondok masih bernafas di sebuah kampung di Kubang Pasu juga iaitu di Kampung Malau dan meminta tuan gurunya yang bernama Haji Wan Ishak bin Wan Muhammad Hashim bin Wan Abdul Baqi menjadi mufti Kubang Pasu Darul Qiam.
Sebahagian pondok yang diasaskan oleh Hj. Sulong bin Hj. CHik di Jeniang yang masih kukuh.
Setakat yang diketahui dengan pasti pondok atau pusat pengajian Tuan Guru Haji Wan Ishak di Kampung Malau ialah pusat pengajian Islam sistem pondok yang paling tua di negeri Kedah. Pondok itu dibukanya dalam tahun 1806. Pondoknya terpaksa dihentikan apabila beliau dilantik menjadi mufti di Kubang Pasu. Bagaimanapun sebagai mufti beliau membuka pula pondok di ibu negeri Kubang Pasu iaitu di Pulau Pisang pada tahun 1845. Pondok di Pulau Pisang masih segar bugar sekarang sebagai sebuah pusat pengajian Islam yang terulung.
Haji Wan Ishak lahir pada tahun 1771 di Malau, berhampiran pekan Jitra. Bapanya Wan Muhammad Hashim bin Haji Abdul Baqi merantau ke Kedah dari kampungnya di Cherang, Patani.
Wan Muhammad Hashim membawa diri ke Kedah bersama orang-orang lain dari Patani kerana Thai sentiasa menindas orang-orang Islam yang tinggal di sana. Wan Muhammad Hashim berkahwin dengan seorang wanita di Kampung Malau, Cik Maryam, dan tinggal menetap di Kedah. Haji Wan Ishak belajar agama di kampungnya kemudian berangkat ke Makkah melanjutkan pelajarannya di sana selama 20 tahun. Beliau balik ke Kedah pada tahun 1806, berumur 35 tahun dan membuka pondok di Kampung Malau tersebut.
Kampung Malau agak terpencil ke timur dan terselamat dari serangan Thai yang menyerang ibu negeri Kedah di Kota Kuala Kedah pada bulan November 1821. Bagaimanapun Malau dan tempat-tempat lain di sebelah timur ini jauh dari laut dan hampir dengan sempadan negeri Patani. Selepas 1815 penduduk-penduduk negeri Patani bertambah ramai membuat penghijrahan ke Kedah kerana Thai dari Bangkok membuat serangan secara besar-besaran ke atas kerajaan Islam Patani pada tahun itu.
Haji Wan Ishak menulis banyak kitab-kitab agama tetapi sayang karyanya tidak lagi ditemui sekarang ini. Pondoknya telah dua kali menerima kebakaran besar. Pada zaman ini, bukan sahaja kitab-kitab agama disalin oleh tiap-tiap orang yang belajar di pondok tetapi al-Quran al-Karim pun terpaksa disalin huruf demi huruf dengan tangan.
Tunku Anum mangkat pada 1853 dan Haji Wan Ishak masih menjadi mufti dan tuan guru DiRaja di bawah pemerintahan Tunku Ishak cucunda Tunku Anum sebagai Raja Kubang Pasu yang kedua. Tunku Ishak mangkat pada 1863 tanpa waris. Kubang Pasu dicantumkan semula dengan negeri Kedah.
Haji Wan Ishak meninggal pada tahun 1871 dan disemadikan di perkuburan Pulau Pisang. Bibit-bibit persekolahan pondok dari Patani disemai di negeri ini.
Di antara anak muridnya yang terkenal sebagai ulama besar ialah cucundanya sendiri Haji Muhammad Saleh bin Haji Muhammad Hashim iaitu anak kepada anakandanya Hajjah Fatimah. Haji Muhammad Saleh ini menyambung usaha Haji Ishak menghidupkan pondok Pulau Pisang sebagai sebuah pusat pengajian Islam yang terkenal. Seorang lagi bekas murid Haji Wan Ishak ialah Tuan Guru Haji Muhammad Noor bin Haji Abu Bakar yang membuka Pondok Tasak, di Langgar, Kedah dan dianggap sebagai seorang keramat. Anak Haji Wan Ishak bernama Haji Musa juga dianggap keramat oleh penduduk-penduduk tempatan Pulau Pisang.
Di antara pondok-pondok yang wujud dalam pertengahan KM 19 di Kedah ialah pondok-pondok yang didirikan oleh Tuan-tuan Guru seperti :-
  1. Tuan Haji Wan Ishak bin Haji Wan Hashim, Pulau Pisang
  2. Tuan Haji Muhammad Tamim, Anak Bukit
  3. Tuan Haji Muhammad Diah bin Muhammad, Tualang
  4. Tuan Haji Abdul Rashid, Pulau Bidan, meninggal 1821
  5. Tuan Haji Abu Bakar bin Syeikh Abdul Kadir Kadi, Alor Star.
Dalam zaman pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah (1854-1879) didapati banyak lagi pondok-pondok yang dibuka oleh ulama-ulama di Kedah. Di antara Guru-guru Pondok yang terbesar ialah :-
  1. Tuan Muhammad Taib al-Mas'ud al-Banjari, Titi Gajah, Mufti 1870
  2. Tuan Haji Muhammad Noor bin Haji Abu Abu Bakar, Pondok Tasak, Langgar
  3. Tuan Haji Saleh Penaga, Limbung Kapal, Alor Star
  4. Tuan Syeikh Moneh, Padang Pusing, Pendang
  5. Tuan Haji Muhammad Aji, Pumpong Alor Star
  6. Tuan Syeikh Wak Sa, Kota Kuala Muda
  7. Tuan Haji Muhammada Rejab, Kanchut, Alor Star
  8. Tuan Haji Muhammad Salleh bin Ishak, Kelonghoi, Kuala Kedah,1888
  9. Tuan Haji Ahmad Tampung bin Haji Osman, Merbuk, Kedah, 1893
  10. Tuan Haji Saleh, Pedu
  11. Tuan Haji Saleh bin Muhammad Hashim, Pulau Pisang
  12. Tuan Haji Muhammad Alim, Sungai Nonang, Yan
  13. Tuan Haji Muhammad bin Umar,Tok Haji Muhammad Tua, Alor Star,Langgar
  14. Tuan Haji Shaari bin Haji Taha, Pondok Tasak , Langgar
  15. Tuan Haji Ismail bin Haji Mustaffa Cik Dol, Gajah Mati, Pendang
  16. Tok Faqih, Sungai Limau
  17. Tuan Haji Ahmad Lalang bin Haji Ali, Yan
  18. Tuan Haji Saleh bin Abdul Samad, Pondok Tasak, Langgar
  19. Tuan Haji Abdul Rahman, Pondok Tasak, Langgar
Kadi yang bertugas di Kedah pada masa ini ialah Tuan Haji Muhammad Zain bin Haji Mas'ud, Kadi 1870 ketika kandanya Haji Muhammad Taib menjadi Mufti, Kadi negeri yang tunggal ini dibantu oleh Tuan Haji Muhammad Jaafar bin Haji Muhammad Saad Imam Besar Masjid Raja di Alor Star, Tuan Syed Ali dan Tuan Haji Muhammad Yusuf. Seorang ulama lagi yang berdamping dengan Sultan ialah Tuan Syed Abdullah al-Maghribi al-Jafri. Tuan Haji Muhammad Daim menjadi kadi pada 1900. Kadi ditugaskan mengajar agama terutamanya di masjid-masjid tetapi tiada membuka pondok. Pada masa ini Tuan Haji Idris Keramat giat berdakwah di Tualang, tetapi beliau juga tidak membuka pondok

Sistem persekolahan pondok bukan sahaja menjadi pusat pengajian ilmu tetapi juga menjadi pusat kepada pelbagai aktiviti kehidupan orang-orang Melayu di Kedah. Persekolahan pondok pada masa ini ialah pusat kehidupan orang Melayu. Maju mundurnya sesuatu pondok itu berkaitan rapat dengan maju mundurnya pendidikan dan penghidupan di sesuatu daerah. Persekolahan pondok kadang-kadangnya terdiri di tengah-tengah pusat pentadbiran dan mempengaruhi persekitarannya, kadang-kadang wujud berasingan membentuk persekitarannya sendiri.
Madrasah Pokok Sena yang dibuka oleh Tuan Hussain Kedah serta dikelilingi lebih seratus buah pondok.
Di pondok, murid-muridnya bukan sahaja diajar pelajaran agama, tetapi juga pelajaran menulis, membaca dan mengira dalam bahasa Melayu. Orang-orang pondok pandai membaca syair, hikayat, menulis surat dan menyalin kitab-kitab yang dikaji kerana tidak ada perusahaan cap-mengecap kitab atau buku seperti sekarang. Di pondok juga orang belajar bersilat dan belajar menjadi dukun atau bomoh. Di pondok juga pelajar-pelajar atau penghuninya digalakkan membantu kerja-kerja di sawah di sekitar pondok, berniaga secara kecil-kecilan dan bertukang.
Pondok-pondok di Kedah menerima pelajar-pelajar bukan sahaja dari Kedah sendiri tetapi juga dari luar negeri iaitu dari Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Perlis, Melaka, Johor, Perlis, Pahang dan lain-lain tetapi juga dari luar negara seperti dari Indonesia, Thailand, Singapura dan Brunei.
Pondok dibuka kepada pelajar-pelajar lelaki dan perempuan, tua dan muda, dan pelajarnya dibolehkan memilih matapelajaran-matapelajran yang disukai dan diminatinya dan memilih sendiri peringkat ilmu yang sesuai dengan keupayaan dan kemampuan masing-masing. Sesetengahnya mengumpul ilmu pengetahuan melalui bahasa Arab, sedangkan keseluruhannya mengumpul ilmu pengetahuan melalui bahasa Jawi atau bahasa Melayu. Pelajar-pelajarnya tidak dikehendaki membayar sebarang yuran : Diajar dan belajar kerana Allah semata-mata.
Sistem persekolahan pondok zaman dahulu amatlah berbeza dengan sistem pendidikan sekolah atau madrasah. Sekolah atau madrasah mempunyai sistem yang tersusun dari segi sukatan pelajaran, dan cara menaiki kelas dan perubahan saban tahun. Pelajar di pondok diberi peluang untuk mengulang beberapa tahun kerana mendalami sesuatu ilmu atau sesuatu aspek ilmu. Seseorang itu boleh tinggal lebih lama di pondok jika difikirnya dia perlu mendalami ilmunya dari seseorang tuan guru. Masa tidak terhad. Tuan Guru hanya mengubah atau menghabiskan sebuah kitab untuk mengkaji isi kitab lain.
Pendeknya pelajar-pelajar yang datang ke persekolahan pondok tidak dihadkan umur atau jantina. Mereka diletakkan di pondok-pondok yang berasingan dari pondok-pondok kelamin.
Pondok tidak menentukan pelajar-pelajarnya mengambil peperiksaan atau sebarang ujian. Kebolehan mereka dinilai oleh guru sendiri dan akuan guru merupakan sijil atau syahadah yang diterima dan tidak ditolak oleh mana-mana pihak pun.
Pelajar-pelajar dikehendaki membuktikan yang mereka berilmu dengan cara membuat seberapa banyak amalan yang selari dengan muatan ilmu yang mereka punyai : Bukan sijil atau syahadah, tetapi amalan mereka sehari-hari yang menjadi ukuran.
Jadi, pondok tidak mempunyai konsep mengejar gred atau point dan tidak ada konsep keciciran seperti yang didapati di dalam sistem pendidikan sekular moden.
Jadual waktu perharian di pondok bermula dengan sembahyang subuh berjemaah di balai (surau) diikuti dengan kuliah subuh sejam atau dua jam. Selepas itu pelajar bebas membuat kerja masing-masing. Ada yang mengambil kesempatan mentelaah kitab atau mengulangkaji isi kitab dengan rakan-rakan di bawah pimpinan seorang 'kepa tela' ah' yang dilantik oleh Tuan Guru. Kadang-kadang diadakan pula kuliah pagi dari pukul 9.00 hingga pukul 11.00 pada hari-hari tertentu dalam seminggu itu untuk para pelajar pondok dan juga untuk orang-orang kampung atau orang-orang luar.
Sembahyang Zohor dan Asar hendaklah dilakukan secara berjemaah seberapa yang boleh. Kuliah dimulakan pula selepas sembahyang Maghrib hingga masuk waktu Isyak. Sembahyang Maghrib, Isyak dan Subuh adalah dimestikan berjemaah di balai.
Aktiviti-aktiviti sosial dan agama seperti sembahyang jenazah, sembahyang tarawih, kenduri kendara, perayaan Maulid, sah khatam Quran dan lain-lain diberi keutamaan. Cuti penggal persekolahan pondok berlangsung di dalam bulan puasa, musim menuai padi atau masa-masa ketiadaan Tuan Guru kerana menziarahi saudara maranya atau kerana berangkat ke Makkah tanpa menunjukkan pengganti sementara.
Dalam persekolahan pondok tersirat ciri-ciri "pendidikan seterusnya". Ciri-ciri ini hanya terdapat di persekolahan pondok dan tidak mudah dilihat di pusat-pusat pengajian sistem yang lain. Inilah ciri-ciri yang diidamkan oleh orang-orang barat sebagai "prinsip-prinsip universal" yang mereka belum berjaya mencapainya.
Pondok Pak Chu Him di Gajah Mati, Pendang.
Persekolahan pondok biasanya ditegakkan oleh ahli-ahli dalam masyarakat setempat secara membiayai dan membantu penghayatan pondok itu melalui seseorang tuan guru yang disanjung oleh masyarakat tersebut. Tuan guru yang membuka pondok itu boleh merupakan seorang anak tempatan atau anak dari tempat lain ataupun seorang yang alim dari Patani atau dari Indonesia.
Guru-guru mencurahkan khidmat untuk mengajar, mengarah, mentadbir pondok, menentukan sukatan pelajaran dan jenis kitab yang hendak dibuat kajian serta mengurus kehidupannya secara berdikari dan berdakwah fi sabil Allah secara percuma dengan ikhlas dan rela tanpa gaji atau sebarang ganjaran. Tuan-tuan guru biasanya memperolehi bantuan dan kerjasama pelajar-pelajar yang tertua bagi melicinkan penghayatan dan aktiviti pondok khususnya di balai atau surau tempat belajar.
Persekolahan pondok boleh bergerak sebagai suatu pusat penghidupan baru di satu-satu daerah atau mengukuhkan penghidupan yang sedia ada. Dengan itu, penghulu, ketua kampung, hartawan, dermawan, ibu bapa pelajar-pelajar di pondok, ahli-ahli kerabat DiRaja atau pembesar memberi sokongan kuat kepada persekolahan pondok supaya maju hidupnya dan terus berjasa.
Kemajuan sesebuah persekolahan pondok pada zaman dahulu bergantung kepada kehebatan seseorang Tuan Guru yang menerajui perjalanan sesebuah pondok di sesuatu tempat itu


Sekolah pondok Madrasah Sa'adatud-Darain yang diasaskan oleh Haji Ahmad Tampong.
Kadang-kadang ulama pondok menjadi pakar runding atau pakar rujuk kepada sultan dan pembesar-pembesar yang memerintah. Begitulah yang terjadi kepada Tuan Guru Haji Wan Ishak di Pulau Pisang yang menjadi pakar runding dan pakar rujuk malahan menjadi Pemangku Raja kepada Tunku Anum bin Tunku Abdul Rahman di Kubang Pasu. Tuan Guru Haji Muhammad Taib (Tok Titi Gajah), Haji Saleh Penaga dan Tuan Haji Tajuddin Mukarram Syah (1854-1879).
Perkataan 'pondok' asalnya dari perkataan Arab "funduk" yang bererti rumah tumpangan atau rumah perhentian sementara. Ini menggambarkan sistem persekolahan yang mana pelajar-pelajarnya mendirikan rumah-rumah kecil sebagai tempat tinggal sementara sambil belajar. Biasanya rumah-rumah kecil ini didirikan oleh ibu bapa atau waris setiap pelajar berhimpit-himpit mengelilingi rumah tuan guru di sesuatu pondok itu. Di Jawa pusat pengajian begini dipanggil "Pesantren' dan di Sumatera sebagai "Rengkum".
"Funduk" yang bererti tempat tinggal sementara itu sekarang difahamkan juga di Timur Tengah sebagai "hotel". Sistem pondok seperti yang terdapat di Nusantara tidak wujud di Timur Tengah.
Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan ramainya alim ulama yang menjadi tuan-tuan guru di persekolahan pondok di Negeri Kedah. Salah satunya ialah kerana menjadi penghijrahan orang-orang Melayu Patani di Thailand Selatan yang telah lama mengamalkan persekolahan agama secara pondok di sana. Ulama-ulama yang ditindas atau disekat kebebasan berdakwah di sana oleh pemerintah Thai merasai perlu berhijrah ke Kedah, Kelantan, Terengganu dan ke Pulau Pinang, malahan ada sesetengahnya yang berhijrah ke Makkah di Arab Saudi atau ke Timur Tengah. Ulama-ulama Patani membawa pengaruh baru ke Kedah khususnya ke atas rupa dan corak pendidikan agama di Negeri Kedah.
Penghijrahan orang-orang Patani ke Kedah berlaku sepanjang masa sejak tumbangnya Kerajaan Ayutthaya pada 1778 lagi. Tetapi penghijrahan yang besar hanya berlaku di antara 1815 dengan 1833 iaitu ketika Kerajaan Thai di Bangkok menyerang kesultanan Patani habis-habisan.
Pengaruh dari Aceh tidak ada di Kedah selain dari beberapa buah kitab agama yang dikarang oleh beberapa ulama Aceh dan dibuat bahan kajian di pondok-pondok di sini. Ulama-ulama Aceh yang membuka persekolahan pondok di Yan itu semuanya untuk orang-orang Aceh yang tinggal di Yan itu sahaja dan bukan untuk orang-orang Kedah yang tidak memahami Bahasa Aceh.
Di antara ulama Aceh yang terkenal datang membuka pusat pengajian di Yan, Kedah pada 1900 ialah Tengku Mohamad Arshad yang dikenali sebagai Tengku di balai kemudiannya disusuli oleh Tunku Haji Musa, Tengku Lam Surau dan Tuan Syeikh Umar. Tengku Lam Uu pada tahun 1910. Kemudian tiba pula Tengku Haji Muhamad Dahan al-Hafiz pada 1920. Ulama Aceh ini berbakti hanya kepada orang-orang Aceh yang tinggal di Yan sahaja dan tidak kepada seluruh penduduk Kedah.
Bekas sekolah pondok yan dibuka oleh Haji Omar dan dikenali dengan nama Madrasah Bukit Haji Omar.
Pengaruh Patani yang dikatakan bertanggungjawab membawa budaya pondok ke Kedah ini dapat dirasai juga di Kelantan, Terengganu dan di Pulau Pinang serta Perlis dan juga di Makka-tul-Mukarramah. Kemajuan pendidikan agama yang di capai oleh Patani Darus-Salam dan perkembangan pemikiran ulama-ulamanya telah mempengaruhi semua ulama-ulama di Kedah dan membanyakkan ulama-ulama kitab,cerdik pandai agama dan pemuka gerakan Islam yang berjasa.
Selain dari melakukan penghijrahan ke Kedah dan membuka pusat-pusat pengajian di sini, ramai pula orang-orang Kedah yang merantau ke Patani menyambung pelajaran agama mereka di pondok-pondok di Patani. Kerana pengaruh Patani turut dirasai di Kelantan dan di Terengganu serta di Makkah, maka apabila orang-orang dari Kedah menyambung pelajaran agama mereka ke Kelantan atau ke Terengganu atau ke Makkah, masing-masingnya tidak terlepas dari pengaruh ulama-ulama Patani.
Walau bagaimanapun pusat pengajian yang paling dihormati ialah di Masjidil Haram di Makkatul Mukarramah iaitu tempat ulama seluruh dunia Islam berkumpul bersama ahli ilmu sufi, ahli falsafah, ahli bahasa Arab dan sejarawan Islam menukar maklumat dan pendapat.
Ulama-ulama Patani memanjangkan pengaruh mereka ke Kedah dan juga ke merata-rata tempat di Nusantara melalui kitab-kitab agama yang mereka karang atau terjemahkan ke bahasa Melayu dari kitab-kitab ulama Arab. Kitab-kitab mereka amat popular di pondok-pondok.
Di antara kitab-kitab ulama Patani itu ialah seperti karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fatani dan Tuan Guru Wan Ahmad bin Wan Muhammad Zaid bin Mustaffa al Fatani serta lain-lain. Nama-nama kitab yang menjadi buah mulut ialah seperti" Kifayat al-Muhtaj, Bulugh al Maram, Al Durr al-Thamin, Kasyf al Ghummah, Minhaj al 'Abidin, munyat al Musalli, Furu'al Masail Bughyat al Tullab dan lain-lain karya Syeikh Daud al Fatani di samping Bisyarat al-Amilin, Hadiqatul Azhar, Kitab Wirid dan Doa serta lain-lain lagi karya Tuan Guru Wan Ahmad Muhammad Zain al Fatani dan juga karya-karya ulama Patani lain.
Faktor kedua yang menyebabkan banyaknya persekolahan dibuka di sini mungkin kerana Kedah ialah salah sebuah negeri yang mempunyai kawasan sawah padi yang luas.
Sungguhpun Kedah menghasilkan padi sejak zaman Empayar Melaka lagi tetapi penumpuan kepada kerja-kerja bersawah dan menentukan padi menjadi hasil negeri yang utama ialah di dalam zaman Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin yang memilih bandar Alor Star menjadi ibu negeri dalam tahun 1736. Sejak itu, Alor Star muncul di tengah-tengah sawah yang jauh lebih luas dari zaman-zaman sebelumnya.
Pelajar-palajar yang menumpang di pondok-pondok mengelilingi pusat-pusat pengajian agama diberi peluang membantu petani-petani di sawah ketika tenaga mereka diperlukan sambil mengumpul pendapatan membantu persekolahan mereka di pondok-pondok mereka. Kebanyakan pondok-pondok mengambil cuti panjang di musim-musim menuai sebagai memberi peluang kepada pelajar-pelajar untuk bekerja di sawah-sawah. Selain dari menerima upah dan ganjaran, mereka pula diberikan zakat dan sedekah oleh tuan-tuan punya sawah.
Mukim Langgar dekat Alor Star yang menjadi pusat persawahan yang amat luas menjamin pertumbuhan sembilan buah persekolahan pondok di sekitarnya. Persekolahan Pondok yang paling awal di Mukim Langgar ialah Pondok Tasak di bawah Tuan Guru Haji Muhammad Noor bin Abu Bakar (Tuan Mad Nor Keramat), dan disambung pula oleh Tuan Guru Haji Shaari bin Haji Taha. Keduanya ialah Pondok Tuan Haji Ahmad Tua di Alor Setol dan disambung hayatnya oleh Tuan Guru Haji Nawawi bin Haji Saleh. Ketiganya ialah Pondok Tuan Guru Haji Abu di Alor Keladi.
Kemudian terdapat pula Pondok Tuan Haji Ahmad bin Haji Yassin (Tok Janggut) di Langgar Satu, Pondok Tuan Haji Husin bin Haji Saleh berhampirannya, Pondok Tuan Syeikh Abdullah Masri di Tanjung Inggeris dan Pondok Tuan Haji Abdullah bin Haji Yusof (Haji Abdullah Kechik) berhampirannya, kemudian terdapat pula Pondok Tuan Haji Dahlan di Jalan Makam dan Pondok Tuan Haji Muhammad Marzuki bin Muhammad Amin di persimpangan Jalan Makam itu. Seperti biasa, setengah dari pondok-pondok ini menjadi tempat perlindungan orang tua-tua yang belajar di pondok-pondok ini sehingga mereka meninggal dunia di situ


Keadaan yang sama seperti di Langgar berlaku juga di Mukim Pendang, dua puluh batu dari Alor Star. Di sana terdapat sekurang-kurangnya sembilan buah persekolahan pondok juga didirikan hampir bersebelah menyebelah. Pondok Tuan Haji Ismail bin Haji Mustaffa, Tok Ayah Cik Dol, didirikan di Kampung Gajah Mati, Pendang dikira paling awal yang kemudiannya diikuti pula oleh pondok-pondok lain dibukai oleh:
  1. Tuan Haji Munah di Padang Pusing, Pendang
  2. Tuan Haji Muhammad di Padang Pusing, Pendang
  3. Tuan Haji Ahmad Rabat, Kampung Chegar, Pendang
  4. Tuan Haji Ibrahim, Paya Sena
  5. Tuan Haji Muhammad Ariff bin Ishak, di Ayer Putih, Pendang
  6. Tuan Haji Wan Ibrahim (Pak Chu Hin), Chegar menantu Tok Ayah Che Dol
  7. Tuan Haji Husin, Seberang Pendang, Pendang
  8. Tuan Haji Abdul Aziz bin Haji Ibrahim, berhampiran Pekan Pendang.
Faktor ketiga yang menyebabkan banyaknya persekolahan pondok dibuka di Negeri Kedah ialah kerana peranan Sultan dan pembesar-pembesar memberi galakan dan perlindungan kepada perkembangan pendidikan agama di kalangan anak negeri. Hanya melalui pendidikan di pondok itulah sahaja anak-anak negeri berpeluang belajar menulis dan membaca. Sultan dan pembesar juga amat memerlukan bantuan alim ulama untuk mentadbirkan negeri dan menjalankan undang-undang syariah di dalam negeri.
Madrasah Al-Hamidiah yang ditubuhkan oleh Hj. Wan Sulaiman Wan Sidek.
Sultan Abdul Hamid Halim Syah yang mewarisi singgahsana Kerajaan Negeri Kedah dari kekandanya Sultan Zainal Rashid Muazzam Syah pada 1882 merupakan peneroka Kedah moden. Baginda bukan sahaja memodenkan Kedah pada segi pembangunan materialnya seperti bangunan dan sistem pentadbiran tetapi juga pada segi rohaniahnya seperti membangunkan sekolah-sekolah dan meningkatkan ilmu pengetahuan rakyat keseluruhannya.
Dalam zaman Sultan Abdul Hamid Halim Syah pondok-pondok tidak lagi menjadi pusat pengajian seratus peratusnya untuk mencernakan manusia bertamaddun sekolah-sekolah Melayu telah mengambil alih tugas itu. Pondok-pondok tidak lagi meyediakan tempat untuk pengajaran dan pembelajaran tulis menulis, baca membaca, kira mengira dan mengenali undang-undang negeri dan tatasusila berkehidupan di dalam kampung. Pelajaran membaca Quran dan ilmu tajwid pun sudah diajar di sekolah-sekolah. Quran tidak lagi disalin tangan. Masa ini sudah ada percetakan dan kitab-kitab boleh dibeli di kedai-kedai kitab.
Dalam zaman Sultan Abdul Hamid, pondok hanya menumpukan pengajaran ilmu agama kepada pelajar-pelajar dewasa lepasan sekolah-sekolah Melayu mendalami ilmu-ilmu seperti:
  • Tauhid, Fiqah, Tasawuf, Mantiq, Usuluddin
  • Pembacaan Quran dan tafsir
  • Hadith dan sirah nabi
  • Nahu dan saraf
  • Bahasa Arab dan Balaghah
  • Ceramah, Muzakarah
  • Soal jawab dan perbincangan
  • Penghafalan do'a dan wirid,
Bagaimanapun tidaklah dapat disangkal terdapat pondok-pondok yang mengajar kanak-kanak membaca dan menulis serta mengira kerana letaknya terpencil dan jauh dari sekolah Melayu. Setengah-setengah pondok masih mempunyai tuan-tuan guru yang tidak dapat memisahkan diri dari cara-cara menghayati pondok yang dipusakainya dari tuan-tuan guru yang lama sebelumnya.
Pelajar-pelajar di pondok diberi peluang memilih mana-mana mata pelajaran yang hendak dipelajari, kemudian memilih pula dengan sendiri mana-mana yang hendak didalami - bukanlah dipaksa mempelajari semua mata pelajaran tersenarai di atas.
Pondok-pondok paling banyak sekali didirikan ialah di zaman Sultan Abdul Hamid Halim Syah. Di antara yang wujud antara 1900 hingga 1935 ialah:
  1. Tuan Husin Muhammad Nasir al-Mas'udi al-Banjari, 1900 di Bohor;(1863-1936)
  2. Tuan Haji Wan Sulaiman bin Wan Sidik, 1906 di Kanchut, Alor Star(1874-1935)
  3. Tuan Haji Idris bin Haji Wan Jamal,Tok Syeikh Jarum,1900 di Derga(1840-1911)
  4. Tuan Haji Muhammad Ariff bin Haji Ishak, Sungai Nonang, Yan, 1901
  5. Tuan Haji Husain bin Muhammad Hassan, Titi Besi,1900 (1852-1932)
  6. Tuan Haji Yaakub bin Haji Ahmad,Pedu; 1900 di Batu Menunggul Pendang
  7. Tuan Haji Muhammad Lin,Yan; (1913)
  8. Tuan Syeikh Abdul Kadir, Guar Kepayang
  9. Tuan Haji Abu Bakar bin Haji Abdullah, Penyarum, Tobiar (1879-1843)
  10. Tuan Haji Yunus Perlis, Bukit Besar
  11. Tuan Haji Abdul Hamid, Tobiar; meninggal 1940
  12. Tuan Haji Yaakub bin Haji Abdul Rahman, Sik
  13. Tuan Umar bin Muhammad Zain, Titi Gajah, Kota Star
  14. Tuan Haji Idris (Jawa), Ayer Hitam, Jitra
  15. Tuan Haji Ibrahim, Paya Sena, Pendang
  16. Tuan Haji Ismail, Teluk Ara, Jitra
  17. Tuan Haji Muhammad Salleh bin Idris, Lubuk Kawah 1920, Jitra
  18. Tuan Haji Muhammad Saman, Kubang Siam, Kota Star
  19. Tuan Haji Ahmad Robat, Cegar, Pendang
  20. Tuan Haji Ismail, Gunung Keriang, Kota Star
  21. Tuan Haji Saad, Kubang Bongor, Kota Star
  22. Tuan Haji Saleh Masri bin Haji Abdullah, Kuala Kedah
  23. Tuan Haji Ahmad Umar, Tanjung Musang, Langgar, Kedah
  24. Tuan Haji Abdullah Tanjung Musang, Langgar, Kedah
  25. Tuan Haji Yassin, Selarung Lalang, Alor Star
  26. Tuan Haji Yassin, Jabi, Kota Star
  27. Tuan Haji Yassin, Alor Ibus, Kota Star
  28. Tuan Haji Muhammad Saman Serban Hijau, Yan
  29. Tuan Haji Muhammad Arshad, Teluk Bagan, Alor Star
  30. Tuan Haji Muhammad Nur bin Haji Abdul Salam, Si Putih, Kubang Pasu
  31. Tuan Haji Abdul Rahman, Tualang
  32. Tuan Haji Ismail bin Che' Abu, Bujang, Merbuk, Kedah
  33. Tuan Haji Awang Hamzah, Kubang Siam, Kota Star
  34. Tuan Haji Harun bin Muhammad Zain, Alor Merah, Alor Star
  35. Tuan Haji Umar, Merbuk
  36. Tuan Haji Yahya bin Haji Taha, Kupang, Baling
  37. Tuan Haji Wan Sulung bin Wan Chik, Jeniang
  38. Tuan Haji Ahmad bin Haji Yassin Tok Janggut, Langgar
  39. Tuan Syaikh Abdullah Masri bin Ibrahim, Langgar
  40. Tuan Haji Abu, Alor Keladi, Langgar
  41. Tuan Haji Abdul Rahman, Kubang Rotan, Kota Star
  42. Tuan Haji Awang, Sungai Limau, Yan
  43. Tuan Haji Muhammad bin Haji Awang, Padang Pusing, Pendang
  44. Tuan Haji Abdul Latif, Pulau Kerengga, Kota Star
  45. Tuan Haji Harun, Bukit Tinggi, Naga, Sungai Baru, Bukit Pinang
  46. Tuan Haji Ahmad, Paya Nedam, Sik
  47. Tuan Haji Muhammad Zain, Kubang Siam, Kota Star
  48. Tuan Haji Endut, Titi Besi, Kubang Pasu
  49. Dato' Haji Abdul Rahman bin Abdullah, Merbuk
  50. Tuan Haji Abdul Ghani bin Haji Awang, Kadi, Kota Star
  51. Tuan Haji Abdul Rahman bin Haji Abdul Latif, Jitra, Kadi Besar
  52. Tuan Haji Ahmad, Kupang, Baling
  53. Tuan Haji Abdul Mutalib bin Abdul Rahman, Simpang Empat, Kota Star
  54. Tuan Haji Muhammad Nuh, Kulim
  55. Tuan Haji Hussain bin Haji Saleh, Langgar
  56. Tuan Haji Wan Abdul Samad bin Wan Nik, Pokok Sena, Kedah
  57. Tuan Haji Wan Ibrahim bin Wan Abdul Kadir, Pak Chu Him, Chegar, Pendang
  58. Tuan Haji Othman, Alor Gonchar,Gunung, Kota Star
  59. Tuan Haji Itam, Tanjung Bedil, Kota Star
  60. Tuan Haji Abdullah bin Haji Awang, Chegar, Anak Bukit Kota Star
  61. Tuan Haji Hassan al-Fatani, Bukit Besar, Yan
  62. Tuan Haji Abdul Majid, Guar Cempedak
  63. Tuan Haji Hussain bin Che' Dol, Guar Cempedak
  64. Tuan Haji Hamzah, Mergong, Alor Star
  65. Tuan Haji Ismail bin Sulaiman (Kelantan), Merbuk
  66. Tuan Haji Ahmad Kota bin Lebai Ibrahim, Kota Rentang, Bukit Pinang
  67. Tuan Haji Zawawi bin Abdul Rahman, Alor Ibus dan Yan (1898-1968)
  68. Tuan Haji Mahmud bin Abdullah, Bukit Besar, Yan
  69. Tuan Haji Kassim bin Haji Saleh, Pulau Pisang, Jitra
  70. Tuan Haji Othman Melaka, Sanglang, Kodiang, Kubang Pasu
  71. Tuan Haji Abdul Rahman, Sungai Baru Ilir, Kota Star
  72. Tuan Haji Ahmad 'Sekor', Junjung, Kulim
  73. Tuan Haji Idris bin Abdul Rahman, Alor Mengkudu, Alor Star
  74. Tuan Haji Abu Bakar Palestin, Ayer Hitam, Jitra
  75. Tuan Haji Hamzah, Seberang Chegar, Anak Bukit
  76. Tuan Haji Ahmad Lala bin Abbas, Jeneri, Sik
  77. Tuan Haji Dahlan, Langgar
  78. Tuan Haji Muhammad Marzuki bin Muhammad Amin, Langgar
  79. Tuan Haji Ismail bin Ibrahim, Seberang Nyonya, Kuala Kedah
  80. Tuan Haji bin Haji Saleh, Kubang Lembu, Jitra
  81. Tuan Haji Umar bin Haji Saleh, Kubang Lembu Jitra
  82. Tuan Haji Rashidi, Kampung Gelugur, Baling
  83. Tuan Haji Wan Sulung bin Wan Dali, Pokok Asam, Pendang
  84. Tuan Haji Saleh (Wara), Sik
  85. Tuan Haji Abdul Aziz bin Haji Ibrahim, Pendang
  86. Tuan Haji Hussein, Pendang
  87. Tuan Haji Muhammad Saad bin Awang, Merogoi, Bukit Payung, Pendang
  88. Tuan Haji Husin bin Haji Abdul Rahman, Telok Kechai, Kota Star
  89. Tuan Haji Zakaria Bin Abdul Rahman, Kubang Rotan, Kota Star
  90. Tuan Haji Zakaria bin Haji Ismail, Pondok Ampang, Kampung Parit, Sik
  91. Tuan Haji Salleh (Muda), Pekan, Sik
  92. Tuan Haji Ismail bin Musa (Kelantan), Selengkoh, Kota Sarang Semut, Yan
  93. Tuan Haji Abdul Rahman bin Haji Kechik, Kubang Siam, Kota Star
Pondok Darul-sa'adah Titi Besi, Kepala Batas, Jitra.
Seseorang tuan guru mungkin membuka lebih dari sebuah pusat pengajian pondok kerana terpaksa berpindah-randah mencari tapak yang lebih strategik. Bagaimanapun jumlah pondok-pondok atau pusat-pusat pengajian ini adalah jauh lebih kecil dari jumlah tuan guru atau jumlah alim ulama yang wujud di dalam negeri.
Di antara Tuan-tuan Guru yang berpindah-randah tempat membuka lebih dari satu pusat pengajian pondok seperti :-
  1. Tuan Husin (Tuan Haji Husin bin Muhammad Nasir bin Haji Muhammad Taib al-Mas'udi al-Banjari) membuka sebanyak lapan buah pondok iaitu di Alor Ganu, Kota Star (1887-1890), di Bohor Karang, Kota Star, (1890-1912), di Bagan Ulu (Pantai Merdeka, Kuala Muda, (1912-1920), di Selengkoh, Daerah Yan, (1920-1924), di Padang lumat, Batu 16, Yan (1924-1929) dan berpindah keluar dari Kedah ke Pokok Sena di Pulau Pinang pada 1929 hingga meninggal pada 1935.
  2. Tuan Haji Muhammad Ariff bin Ishak (Tuan Mat Arif) membuka pondoknya di Sungai Nonang, Yan, (1901), kemudian di Ayer Putih Pendang, (1915), di Titi Serong, Yan (1930) dan akhirnya di Pekan Atap, Gurun (1934-1941).
  3. Tuan Guru Haji Salleh Masri bin Haji Abdullah membuka pondoknya di Teluk Kechai Kota Star, pada 1923 dan membuka pula di Padang Lumat Yan dari 1932 hingga 1936. Kemudian membuka pula pondoknya di Kuala Kedah pada 1940.
  4. Tuan Haji Yaakub bin Haji Ahmad (Tuan Haji Yaakub Putih) membuka pondoknya di Batu Menunggol, di Pendang, di Kampung Bendang, Kuala Nerang (1940-1942), dan di Kampung Bukit Gedung, Padang Terap (1942-1943).
  5. Tuan Guru Haji Talib bin Abdul Rahman membuka pondok di Asun, Kubang Pasu dan di Kampung Kunluang, Kubang Pasu sebelum membuka pondoknya di Simpang Empat Kota Star.
  6. Tuan Haji Harun membuka pondoknya di Bukit Tinggi, Kubang Pasu, di Naga, Kubang Pasu, di Sungai Baru, Kota Star dan di Bukit Pinang, Kota Star.
Jumlah orang alim atau ulama adalah jauh lebih ramai dari jumlah pondok dalam negeri kerana ramai pula ulama yang terdiri daripada para pengajar yang berkhidmat di pondok-pondok. Demikian juga masih ramai para ulama dari kalangan kadi, guru dan ustaz, serta khalifah-khalifah tariqat dan imam-iman tinggal di seluruh negeri.
Antara ulama-ulama yang terkenal di zaman Sultan Abdul Hamid Halim Syah ialah seperti :-
  1. Tuan Haji Wan Ismail bin Wan Mohd Taib, Kadi Besar, 1900
  2. Syeikh Ahmad Dahlan, Syeikh-ul Islam
  3. Syeikh Abdullah Muhammad Khayat, Syaik-ul Islam 1909-1918
  4. Tuan Haji Muhammad Said, Kerian, Kadi dan Pentafsir al-Quran
  5. Tuan Haji Syafie bin Muhammad Saleh, Telok Bagan, Guru di Masjidil Haram, meninggal 1953
  6. Syeikh Ismail bin Haji Muhammad Saleh, Syeikh-ul-Islam, 1935-1945
  7. Tuan Haji Muhammad Nuh, Kadi
  8. Syeikh Mahmud bin Haji Muhammad Nuh, Kadi Besar (Bekas guru di Masjidil Haram)
  9. Syeikh Muhammad Amin bin Haji Saleh al-Azhari, Kadi
  10. Tuan Haji Zainal bin Haji Muhammad Amin, Telok Bagan, guru di Masjidil Haram
  11. Tuan Haji Zulqarnain bin Haji Muhammad Saleh, Padang Pueliang, Pendang
  12. Tuan Haji Muhammad bin Muhammad Saleh, Seberang Perak
  13. Tuan Haji Ahmad Bahar bin Sulaiman, Alor Merah
  14. Tuan Haji Muhammad Noor bin Muhammad Yaqin, Naga, Kubang Pasu
  15. Tuan Haji Din bin Ibrahim, Haji Kudung, Kota Kuala Muda
  16. Tuan Haji Muhammad Taib bin Haji Idris, Jitra
  17. Tuan Haji Mahmud bin Shafie, Sanglang
  18. Tuan Haji Abu Yazid, Yan.
Apabila Syeikh-ul Islam Kedah Tuan Haji Wan Sulaiman bin Wan Sidik mendirikan sebuah sekolah agama moden di Limbung Kapal, Alor Star, dalam tahun 1920 dinamakan madrasah itu 'Madrasatul Hamidiyyah' mengambil sempena nama Almarhum Yamtuan Sultan Abdul Hamid Halim Syah (1882-1943) yang amat gemar kepada kerja-kerja penyibaran dan pemantapan ajaran-ajaran Islam. Maka guru-guru di sekolah tersebut semuanya dianggap ulama yang radikal dan bertanggungjawab membawa perubahan besar kepada masyarakat Islam di Kedah. Diantara mereka ialah:-
  1. Tuan Haji Yassin bin Muhammad Tahir, Guru Besar, Pertama
  2. Syeikh Abdullah bin Ibrahim (Syeikh Abdullah Pak Him)
  3. Syeikh Muhammad Saleh syamsuddin
  4. Tuan Syed Muhammad bin Yahaya
  5. Ustaz Husin
  6. Syeikh Ibrahim Yusuf al-Ibyari (Guru Pelendit Pembacaan Al-Quran)
  7. Tuan Haji Ku Ariffin bin Ku……….
Kemudian apabila Madrasatul-Hamidiyyah dipindahkan ke tapak baru dengan premis yang lebih moden di Simpang Kuala pada 1936 dan mengambil sempena nama Pemangku Sultan ketika itu, Duli YTM Tunku Mahmud, maka "Al-Ma'ahad al-Mahmud" mempunyai guru-guru yang lebih progresif menaburkan jasa besar kepada negeri ini. Diantara mereka ialah :-
  1. Dato' Syeikh Abdul Halim bin Othman
  2. Dato' Syeikh Abdul Majid bin Muhammad Noor
  3. Syeikh Abu Bakar Kassim
  4. Syeikh Adnan Muhammad Hashim
  5. Syeikh Othman Yusof
  6. Syeikh Saad bin Said, Guru dan Kadi
  7. Tuan Haji Muhammad Darus bin Endut, Guru dan Kadi
  8. Shaikh Ismail bin Haji Said
  9. Syeikh Abdul Aziz Awang Besar
  10. Syeikh Ghazalli Abdul Rahman
  11. Syeikh Ismail bin Mahmud
  12. Syeikh Muhammad Nur bin Yunus
  13. Syeikh Abu Bakar Awang al-Baghdadi
  14. Syeikh Ibrahim Said
  15. Syeikh Zainal bin Embon
  16. Syeikh Ali bin Haji Ahmad
  17. Syeikh Niamat bin Yusoff
  18. Tuan Azizan bin Aroff dan lain-lain.
Terdapat juga ulama yang membuka pondok dan menjadi Tuan Guru yang popular dengan taital "lebai" sahaja. Ulama-ulama ini mengumpul ilmu agama di tanah air sahaja dan tidak pernah ke Makkah walaupun untuk menunaikan fardu haji di antara ulama-ulama begitu ialah:-
  1. Lebai Tih, akhirnya meninggal di Makkah sebagai Haji Abdul Latif, membuka pondoknya di Pulau Kerengga, Kota Star
  2. Lebai Othman bin Haji Yunus (akhirnya Haji) di Bukit Besar, Yan. Pondoknya dikenali sebagai "Pondok Lebai Man, Batu Sebelas". Lebai Othman pernah menjadi 'Kepala Tela'ah" di pondok Tuan Guru Haji Abdullah Tahir, Bunut Payung, Kelantan.
  3. Lebai Isa Kodiang, Kubang Pasu.
Mereka mengajar di pondok masing-masing tanpa gelaran "Haji"

Bekas pondok Kampung Pulau Pisang, Tunjang.
Sungguhpun masih ada lagi persekolahan pondok di negeri Kedah yang tumbuh selepas meninggalnya Tuan Haji Wan Sulaiman bin Wan Sidik, Syaikhul-Islam, pada 1935, tetapi jumlahnya kecil jika dibandingkan dengan jumlah pondok-pondok yang pernah wujud di Kedah sejak 1850 hingga 1935. Di antara pondok-pondok selepas 1936 dibuka oleh :-
  1. Tuan Haji Yahaya Junaid batu 16, Padang Lumat, Yan 1940
  2. Tuan Haji Umar al-Zuhdi bin Muhammad Saleh, Lanai, Baling
  3. Tuan Haji "Uthman (Lebai Man) bin Haji Yunus, Batu Sebelas, Bukit Besar, Yan
  4. Tuan Haji Ahmad bin Haji Othman, Bukit Kepelu, Kodiang, Kubang Pasu.
  5. Tuan Haji Abdullah Abbas Nasution, Tanjung Pauh, Jitra
  6. Tuan Lebai Isa, Kepelu, Kodiang
  7. Tuan Haji Fauzi bin Haji Mustaffa, Yan
  8. Tuan Haji Abdul Rahman bin Haji Saleh, Jitra, Kubang Pasu.
  9. Tuan Haji Abu Bakar Palestin, Ayer Hitam, Kubang Pasu.
  10. Tuan Haji Mustaffa, Gajah Mati, Pendang
  11. Tuan Haji Abdul Razak bin Haji Ibrahim, Pendang.
  12. Tuan Haji Abdullah Kechik bin Haji Muhamad Yusof, Langgar, 1947
  13. Tuan Haji Ahmad Tajuddin bin Haji Abdul Rahman al-Jarumi (Dato' Mursyid di Raja), Malele, Kubang Pasu.
  14. Tuan Haji Abdullah bin Hassan, Kuala Janing, Padang Terap
  15. Tuan Haji Daud, Malau, Kulim
  16. Tuan Haji Yahaya, Kampung Teluk, Bukit Pinang, Kota Star
  17. Tuan Haji Ahmad Nahu, Jeneri, Sik
  18. Tuan Haji Muhammad Ali bin Haji Ismail, Kebun 500, Jabi, Kota Star
  19. Tuan Haji Ibrahim Senggora, Tok Keling, Kota Star
  20. Tuan Haji Wan Muhammad Saleh, Tong Pelu, Padang Terap dan Alor Changleh, Kubang Pasu.
  21. Tuan Haji Mustaffa, Tambak Bunga, Kota Star.
  22. Tuan Haji Husin bin Haji Abdul Rahman al-Jarumi, Selarung lalang, Kota Star
  23. Tuan Haji Umar bin Haji Ahmad, Langgar
  24. Tuan Haji Senawi bin Muhammad Saleh, Alor Setol, Langgar
  25. Tuan Haji Abdullah bin Lebai Besar, Kupang
  26. Tuan Haji Mahmud Zuhdi, Lanai, Sik
  27. Tuan Haji Bukhari bin Hassan, Bukit Besar, Yan dan Batu Menunggol, Pendang
  28. Tuan Haji Man, Lepai, Kota Star.
  29. Tuan Haji Man, Pida Tiga, Tunjang, Kubang Pasu
  30. Tuan Haji Husin, Kubur Panjang
  31. Tuan Haji Awang, Ayer Hitam, Kubang Pasu
  32. Tuan Haji Abdul Rahman bin Awang Kechik, Permatang Jeram, Kubang Pasu
  33. Tuan Haji Abdul Halim bin Haji Abdul Hamid, Sungai Jagung Dalam, Pendang
  34. Tuan Haji Shafie, Kampung Tebing, Jitra
  35. Tuan Haji Azizan bin Mustaffa, Kangkung, Kota Star
  36. Tuan Haji Ismail bin Haji Ahmad, Bukit Pinang, Kota Star
  37. Tuan Haji Abdul Rahman bin Haji Yahaya, Kupang, Baling
  38. Tuan Haji Abdullah bin Lebai Samah, Bukit Lada, Kota Star
Di atara pondok-pondok di atas, ada yang masih bertahan menghadapi pelbagai rintangan dan kesukaran yang ditimbulkan oleh jiwa-jiwa sekular dan moden. Persekolahan pondok ini terpaksa menandingi sekolah-sekolah agama yang didirikan oleh Kerajaan dengan sistem yang jauh progresif. Setengah dari pondok-pondok ini bertindak mendirikan bangunan-bangunan sekolah atau madrasah sendiri dan menggunakan kurikulum dan peraturan-peraturan persekolahan seperti sekolah Kerajaan.
Banyak dari pusat-pusat pengajian yang dikatakan pondok ini telah terbiar dan menjadi jasad yang tidak bernyawa

2 comments:

  1. Assalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh. Saya IZS dari kuala lumpur, berumur 28 tahun. Saya seorang insan lemah dalam perguruan islam walaupun di lahirkan dalam agama islam, saya sudah cuba mencari untuk mempersiapkan sahsiah diri di jalan diredhai Allah. Mohon bantuan sahabat berhubung dengan saya 01120982021 (IZS).
    Like · Reply · Delete · 2m

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum..tuan yg d hormati hjt
    Di hati ingin mengabdi PD Allah SWT..janji Allah taala pasti sy ingin bljr ilmu akhirat sblm mnempuh dunia

    ReplyDelete