Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah
Penulis mula mengenali tokoh yang digelar sebagai Tok Keramat Pulau
Bidan ini setelah membaca buku Kanzul Muid karya Tuan Mufti Haji Ahmad
bin Syeikh Muhammad Said pada 1971.
Menurut salasilah yang dibuat oleh Haji Nik Ishak Tingkat, Kelantan
pada 1976 ada mencatatkan nama Syeikh Abdur Rahman sebagai saudara
kandung Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang suka mengembara
sehingga tidak diketahui di mana letaknya kubur beliau.
Oleh kerana itu dalam buku karangan penulis berjudul Syeikh Daud bin
Abdullah al-Fathani, Ulama dan Pengarang Terulung Asia Tenggara (Hizbi,
1990, hlm :14), penulis menyatakan Berkemungkinan Syeikh Abdur Rasyid
al-Fathani adik Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani inilah yang disebut
Tok Keramat Pulau Bidan. Perkataan "Berkemungkinan" di awal kalimat
adalah menunjukkan sesuatu yang belum pasti dalam pengkajian penulis.
Namun akhirnya penulis menemui kesahihan setelah menziarahi beberapa
pusat pengajian pondok di Patani pada Mei 1991. Pusat pengajian pondok
yang mempunyai kaitan dengan tokoh ulama kali ini terletak di kampung
bernama Cenak, Wilayah Songkla, Thailand.
Di pondok pengajian tersebut juga tempat pertama Syeikh Zainal Abidin
al-Fathani/Tuan Minal bin Muhammad al-Fathani belajar pelbagai ilmu
keislaman sehingga beliau menjadi seorang ulama besar yang amat terkenal
di Asia Tenggara.
Hasil perbualan dengan salah seorang keturunan pengasas pondok
pengajian tersebut, barulah penulis mengetahui bahawa pondok yang
penulis kunjungi itu adalah diasaskan oleh Syeikh Abdur Rasyid Pulau
Bidan.
Maka terjawablah keraguan mengenai data lengkap biografinya yang penulis cari sejak tahun 1971 itu.
Pengenalan sahsiah Syeikh Abdur Rasyid
Riwayat hidup mengenai ulama di Cenak ini adalah berdasarkan cerita
lisan daripada beberapa keturunan beliau yang penulis temu bual. Ayah
beliau bernama Cik Din berasal dari Kampung Temperak, Cenak dalam
Wilayah Senggora (Songkhla).
Ditakdirkan Allah pada suatu hari Abdur Rasyid hilang di tempat ia
bermain-main. Sehingga ahli keluarga menyangka beliau telah dimakan oleh
harimau. Oleh itu setelah berpuluh-puluh tahun lamanya, ahli keluarga
menyangka beliau telah pasti meninggal dunia.
Setelah sekian lama, pada suatu hari ketika ibunya yang tua menjemur
padi, tiba-tiba dikejutkan oleh seorang pemuda yang datang mengusiknya.
Lalu dimarahi oleh ibunya kerana beliau tidak kenal bahawa pemuda itu adalah anaknya yang telah hilang sekian lama.
Setelah dikerumuni orang yang datang, barulah pemuda itu mengaku
bahawa beliau adalah Abdur Rasyid anak kepada perempuan tua yang
diusiknya itu.
Beliau menceritakan riwayatnya yang hilang sewaktu umurnya belum
sampai enam tahun. Beliau menceritakan bahawa pada mulanya beliau pergi
belajar pondok di Patani dan seterusnya menyambung pondok di Kedah dan
diteruskan di Pulau Pinang.
Pengembaraan dari Patani ke Kedah hanya dengan berjalan kaki,
manakala ke Pulau Pinang pula dengan menumpang sampan kecil tanpa
membawa wang walau sedikit. Hanya sehelai sepinggang yang ada pada
dirinya.
Setelah ilmu yang dipelajari di Patani, Kedah dan Pulau Pinang
sudah memadai, beliau meneruskan mencari ilmu ke Mekah dan seterusnya
mengembara ke Baitul Maqdis. Beliau sempat mendalami pengetahuannya di
Mekah tetapi tidak diceritakan bahawa beliau mengajar di Mekah, tetapi
diceritakan beliau mengajar di Masjid Baitul Maqdis dan di kediamannya.
Bertahun-tahun beliau mengajar, tidak pernah terlintas untuk pulang
ke kampung halamannya. Sehingga pada suatu malam ketika beliau mengajar,
dilihatnya seekor kucing mengiau-ngiau.
Tidak lama kemudian beliau melihat kucing itu menggonggong anaknya.
Lalu beliau menutup kitab yang sedang diajar dan termenung di hadapan
murid-muridnya yang juga menjadi hairan dengan kelakuan beliau.
Lalu beliau berkata, Sedangkan kucing atau pun binatang lainnya
teringat dengan anaknya. Aku sendiri sebagai seorang manusia mulai saat
ini baru terkenang dengan sanak saudaraku yang menjadi tanggungjawabku.
Aku mesti kembali ke tempat asalku.
Dipendekkan kisahnya, beliau kembali ke Cenak dengan membawa banyak
kitab dengan gambaran diangkut oleh tiga ekor gajah. Bahkan terdapat
kitab-kitab yang dibawanya masih tersimpan di pondok tersebut.
Tulisan mutawal tentang beliau yang ditulis oleh Haji Ahmad bin
Syeikh Muhammad Said dalam Kanzul Mu'id, menurut beliau, Al Allamah
al-Kabir al-Fahamah Shahib
.asy-Syeikh Abdur Rasyid al-Fathani yang
dikubur akan dia di Pulau Bidan. Dan kuburnya di sana dikenal akan dia
lagi masyhur menziarah kepadanya oleh manusia
.
Mengenai kekeramatan beliau, menurut Mufti Haji Ahmad dalam
kitabnya, Baginya beberapa karamah, yang adalah yang terlebih besar
daripadanya bahawa menghimpunkan ia sekalian kitabnya pada setengah
daripada peperangan yang terjadi di dalam negerinya.
Dan meletak ia akan dia pada tepi sungai pada suatu tempat yang
tiadalah di antaranya dan antara langit dinding. Dan pergilah ia kepada
satu negeri
.Kemudian kembali ia kepada negerinya, maka mendapat ia akan
sekalian kitabnya seperti barang yang ada ia, tiada berubah dan binasa
ia
.
Masih banyak karamah yang diceritakan dalam kitab tersebut yang tidak dapat penulis senaraikan kesemuanya.
Oleh kerana riwayatnya telah jelas dinyatakan dalam kitab Kanzul
Muid tersebut, maka Syeikh Abdur Rasyid Tok Keramat Pulau Bidan bukan
saudara kandung Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang suka mengembara
sehingga sampai kini belum ditemui riwayatnya.
Dari catatan Tok Kelaba al-Fathani dapat diketahui beberapa orang
sahabat Syeikh Abdur Rasyid iaitu, Haji Abdus Shamad Kelaba, Imam Abdul
Manaf, Haji Abdul Majid Setang, Haji Abdul Majid Langgar Jambu, Tuan
Pulau Canang Kelantan dan Tuan Abdur Rasyid Cenak (Pulau Bidan).
Mengenai pemikiran beliau pula, terdapat satu catatan Tuan Guru Haji
Mahmud bin Muhammad Yusuf Terengganu, iaitu murid Syeikh Abdul Qadir
Bukit Bayas, catatan itu berupa taqrir beliau mengenai pembahagian
pusaka menurut Islam dan manuskripnya masih dalam simpanan penulis.
Sebuah lagi karya yang diketahui ialah mengenai fikah yang
diselesaikan di Kelantan tahun 1263H/1846M yang disimpan naskhahnya di
Muzium Budaya Melaka.
Keturunan yang menjadi ulama dan tokoh masyarakat
Sebagaimana yang dinyatakan bahawa sekembalinya Syeikh Abdur Rasyid
dari Baitul Maqdis, beliau bersama besannya Haji Abdul Jalil dan Haji
Muhammad Shalih membuka sistem pengajian pondok di Cenak. Sehingga
sekian lama pondok pengajian yang diasaskan beliau masih diteruskan
oleh keturunan beliau.
Setelah berkahwin dengan Fathimah, Syeikh Abdur Rasyid memperoleh empat orang anak.
Ketiga-tiga menantu beliau merupakan murid-murid beliau yang menjadi
ulama. Oleh itu, setelah beliau meninggal dunia, pondok pengajian
tersebut diganti oleh menantunya yang bernama Haji Hasan bin Haji Abdul
Jalil, iaitu suami anak perempuan beliau iaitu Hajah Aisyah.
Apabila Haji Hasan meninggal dunia, diganti pula oleh Abdullah yang
berasal dari Bangkok. Sesudahnya diganti oleh Haji Awang dan seterusnya
diganti oleh Haji Abdul Syukur bin Syeikh Abdur Rasyid.
Sewaktu penulis menemu bual keturunan Syeikh Abdur Rasyid, beliau hanya mempunyai empat anak perempuan seperti yang dinyatakan.
Penulis turut menemui nama Haji Abduys Syukur dalam beberapa kitab bahawa beliau adalah anak Syeikh Abdur Rasyid.
Perkahwinan anak perempuan Syeikh Abdur Rasyid yang bernama Cik Wi
dengan Haji Muhammad Shalih telah memperoleh anak yang bernama Haji
Muhammad Nur. Beliau adalah seorang ulama yang sangat besar pengaruhnya
di seluruh Wilayah Senggora (Songkhla) pada zamannya.
Beliau meninggalkan beberapa buah karya yang berupa risalah-risalah
di antaranya Risalah Usuluddin yang diselesaikan pada 15 Rejab 1373 H
(1953 M).
Risalah kecil tersebut dicetak pada cetakan kedua tahun 1381 H (1961
M). Di akhir karyanya itu, beliau memberi nasihat dengan sepuluh
perkara, iaitu:
1. Jangan tuan-tuan cerca kepada seorang yang tuan lihat ada pada tuan sendiri.
2. Jangan tuan sesal akan suatu kebajikan yang tuan telah perbuat
tetapi hendaklah tuan sesal atas kejahatan yang telah tuan kerjakan.
3. Jangan tuan marah jikalau dikata orang, tuan bodoh, apabila tuan membuatkan seperti perbuatan orang yang bodoh.
4. Jangan tuan nanti bantuan orang lain melainkan terlebih dahulu tuan bantu diri tuan sendiri.
5. Jangan tuan bersahabat dengan seseorang sebelum tuan tahu bagaimana ia berlaku dengan sahabat-sahabatnya yang dahulu.
6. Jangan segera tuan kata susah sesuatu pekerjaan sebelum tuan cuba lagi.
7. Jangan tuan takut akan perkataan tuan yang sebenar tetapi hendaklah tuan takut akan perkataan tuan yang salah.
8. Jangan tuan jaga diri orang lain sebelum tuan tahu bagaimana hendak menjaga diri tuan sendiri.
9. Jangan tuan rosakkan sesuatu benda itu apabila tiada boleh membaikinya.
10. Jangan tuan mengumpat-ngumpat atau mencacat-cacat suatu pakatan
terlebih dahulu tuan mengesahkan terlebih banyaklah faedah daripada
mudarat.
Nasihat atau wasiat Haji Muhammad Nur iaitu cucu Syeikh Abdur Rasyid
telah disalin oleh anak beliau iaitu Tuan guru Haji Husein bin Haji
Muhammad Nur, yang dimuat dalam risalah kecilnya yang berjudul Hidangan
Hikmah.
Risalah tersebut dicetak dengan huruf Melayu/Jawi dan di bahagian
bawahnya juga digantungkan dengan huruf Thai. Haji Husein bin Haji
Muhammad Nur pula adalah seorang tokoh ulama Senggora.
Selain itu, cucu Syeikh Abdur Rasyid ini juga meninggalkan ramai
anak murid yang menjadi ulama. Antaranya Tuan Guru Muhammad Encik muda,
penyusun Risalah Majuis Shaghir.
Mufti Haji Ahmad menulis tentang Hajah Wan Shafiyah iaitu salah
seorang anak perempuan Syeikh Abdur Rasyid. Menurutnya, dalam kitab
Kanzul Muid ,
al-Hajah Shafiyah daripada anak negeri Patani dan ia
seorang perempuan yang terlebih elok bacaan pada al-Quran. Lagi mengajar
baginya dibilang akan dia daripada yang lebih-lebih perempuan-perempuan
masanya
.
Sebagaimana yang diketahui, Hajah Shafiyah berkahwin dengan ulama
bernama Syeikh Jamaluddin Linggi dan memperoleh anak yang iaitu Syeikh
Muhammad Said, iaitu seorang ulama besar yang diakui masyarakat pada
zamannya. Beliau pula memperoleh beberapa orang anak dan cucu yang
menjadi ulama.
Antara anak-anak Syeikh Muhammad Said yang menjadi ulama ialah Haji
Abdullah, Haji Ahmad Mufti Negeri Sembilan dan Tuan Guru Haji Mansur
iaitu salah seorang saudaranya yang sempat penulis kenali pada tahun
1977 dan meninggal dunia tahun 1981.
Tuan Guru Haji Mansur sangat mengagumi Syeikh Ahmad al-Fathani,
sehingga matan Ar-Risalatul Fathaniyah/Nahu, Abniyatul Asma wal
Afal/Sharaf dan Syair Syeikh Ahmad al-Fathani di akhir kitab Ianatut
Thalibin dibaca olehnya di hadapan penulis secara menghafal.
Penulis juga sempat menemu bual saudaranya Haji Muhammad Nur dalam
tahun yang sama iaitu pada 1971. Pada 1988, penulis menemu bual seorang
lagi saudaranya iaitu Haji Abdul Hamid dan daripada beliau penulis
memperoleh sepotong Syair Syeikh Ahmad al-Fathani dalam bahasa Arab yang
terkumpul dalam sebuah buku Syeikh Muhammad Said tersebut.
Dalam tahun 1411 H/1991 M, Pondok Cenak peninggalan Syeikh Abdur
Rasyid Pulau Bidan masih diteruskan. Ia dipimpin oleh Tuan Guru Haji
Ismail bin Haji Abduys Syukur dan sekali gus menggantikan saudara
kandungnya iaitu Haji Abdullah.
Beliau diberi nama Ismail kerana mengambil berkat kealiman Syeikh
Ismail (Pak De El, Mekah) dan Haji Abduys Syukur juga adalah sezaman
dengan ulama tersebut iaitu, Syeikh Ismail bin Abdul Qadir al-Fathani.
Tuan Guru Haji Ismail adalah kelulusan sarjana muda sastera
Universiti Madinah yang pertama bersama sahabat beliau iaitu, Haji Yahya
al-Lathifi yang merupakan ulama Thailand yang terkenal. Haji Yahya juga
adalah sepupu Pak De El dan Syeikh Ahmad al-Fathani.
Tuan Guru Haji Ismail meneruskan pengajian pondok tersebut dengan dibantu oleh anak-anaknya.
Kesimpulan
Menurut penelitian penulis, sejarah hidup mengenai tokoh yang
dikatakan Tok Keramat Pulau Bidan ini cukup jelas. Selain sebagai
seorang ulama besar, beliau juga menurunkan ulama-ulama besar yang
terkenal selepasnya.
Bahkan institusi pengajian pondok yang dibinanya dapat diteruskan
hasil kesinambungan daripada keturunan beliau. Oleh itu, penyelidikan
sejarah mengenai beliau dan keturunannya perlu dijalankan dengan teliti
kerana jasa yang amat besar kepada masyarakat.
Setiausaha MUAS 2013 hingga sekarang. Pengerusi Persatuan Pelajar Pondok Tauhid Kedah (2010-hingga sekarang) , Setiausaha Pondok Ar Rahmaniah Pondok Tuan Guru Hj Salleh Musa (2006-2012), Tim Pengerusi 2 Madrasah Ar Rahmaniah (2012-2013) Setiausaha Ulama Kawasan Sik (2012-2013) Mengajar Kitab di Masjid-Masjid dan Surau-Surau jemputan , Pendakwah Bebas. Cintakan Kitab Thurath , Cinta Perjuangan Ahli Sunnah Wal Jamaah , Cinta Ulama , Cinta Habib , Cinta Majlis ilmu , cinta perjuangan Islam
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment