HIMPUNAN ULAMA THURATH SIRI 3

Friday, May 8, 2020

Yamtuan Syarif Abu Bakar Shah - keturunan Helmi Assyafie

Raja-raja Melayu-Islam di Segenting Kra

(Segenting Kra bagi maksud artikel ini adalah merujuk wilayah selatan Thailand pada hari ini iaitu dari Patani-Satun ke Ranong-Chumpon)

1. Yang biasa diketahui umum, Raja-raja Melayu-Islam yang pernah berkuasa di segenting Kra adalah di negeri Patani, Singgora (kini Songkhla) dan Setul (kini Satun).

2. Manakala Srivijaya pula pernah berpusat di Jaya (Chaiya) sebelum Chandrabanu membangunkan Nagara Sri Dharmaraja di bekas wilayah Tambralinga. Kedua-duanya merupakan Javaka (Melayu segenting Kra yang beragama Buddha).

3. Jarang-jarang diketengahkan bahawa terdapat juga Raja-raja Melayu beragama Islam yang pernah memerintah di negeri-negeri lain di segenting Kra.

4. Sebagai contoh, menurut Chapakia (2000), Siam sewaktu era Ayutthaya pernah melantik seorang Melayu bernama Mahmud sebagai pemerintah Ligor (kini Nakhon Si Thammarat) dengan gelaran Phraya Ram Decho. Tujuan perlantikannya adalah untuk berperang dengan sebuah lagi negeri Melayu iaitu Singgora (kini Songkhla) yang dibawah pimpinan Sultan Mustafa.

5. Selepas kejatuhan Singgora, sebahagian penduduk Melayu di negeri berkenaan telah dipindahkan ke Ayutthaya termasuklah kerabat diraja iaitu adik beradik Sultan Mustafa yang bernama Husin dan Hassan.

6. Pada tahun 1682, Sultan Mustafa kemudian telah dilantik sebagai Raja Negeri Jaya (kini Chaiya) dengan gelaran Phraya Wichitphakdi Sriphichai Songkhram. Manakala adindanya iaitu Husin dilantik sebagai Raja Muda dengan gelaran Phra Sri Rachsongkhram.

7. Seterusnya pada tahun 1687, Raja Muda Husin telah dilantik pula sebagai Raja Negeri Mendalong (kini Phattalung). Manakala Hassan pula dilantik sebagai sebagai Panglima Angkatan Laut Ayutthaya dengan gelaran Phraya Rach Bangsan Seni.

8. Namun begitu, Laksamana Hassan kemudian telah dihukum mati oleh Ayutthaya atas kesalahan bekerjasama dengan Phraya Ram Decho, raja negeri Ligor, dalam usaha membebaskan Negeri Ligor dari kekuasaan Ayutthaya. Manakala Phraya Ram Decho pula berundur ke selatan.

9. Menurut Hamli (2009), yang cuba membebaskan Ligor dari kekuasaan Ayutthaya sebenarnya adalah anak kepada Mahmud, yang turut memakai gelaran yang sama seperti bapanya iaitu Phraya Ram Decho. Nama sebenarnya kurang jelas, tetapi ditulis juga sebagai Yamtuan Syarif Syah.

10. Maklumat cerita ini adalah selari dengan penulisan Wood (1926) di mukasurat 220-221 yang menyatakan ketika gabenor Nakhon Si Thammarat melakukan pemberontakan terhadap Ayutthaya pada tahun 1691, gabenor berkenaan, P’ya Ram Dejo, merupakan seorang Melayu. Tentera Siam yang dihantar untuk memadamkan pemberontakan pada tahun 1692 pula diketuai oleh seorang laksamana yang juga berbangsa Melayu iaitu P’ya Rajabangsan dan kedua-duanya bersahabat. P’ya Rajabangsan kemudian telah mengorbankan dirinya untuk membantu rakannya itu. 

11. Seperkara yang perlu diperhatikan adalah tindakan Siam melantik pemerintah dan laksamana Melayu bagi tujuan melawan dan menghapuskan pemberontakan di negeri-negeri Melayu. Strategi ini berlanjutan termasuklah sewaktu Negeri Patani diserang pada tahun 1786 apabila yang menjadi Panglima tentera laut adalah Phraya Rajabangsan, yang dipercayai keturunan dari Laksamana Hassan dan turut memakai gelaran yang sama. (direkodkan beliau amat sedih apabila terpaksa  berperang dengan negeri yang seagama dengannya).

Baca juga :

110 Tahun Terpisahnya Segenting Kra Dengan Tanah Melayu

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=279462979318197&id=113454672585696


Bahan kajian dari tulisan FB.
( dalam kajian)

Raja Ligor Yang Memberontak Kepada Ayutthaya

1. Dalam sepanjang sejarah Ligor, terdapat dua orang Raja-nya(Gabenor) yang pernah memberontak dan membebaskan Ligor dari kekuasaan Ayutthaya, iaitu Phraya Ram Decho dan Raja Musika.

2. Phraya Ram Decho dicatatkan sebagai berketurunan Melayu. Beliau mengambil kesempatan membebaskan Ligor sewaktu kenaikan Phetracha sebagai Raja Siam menggantikan Raja Narai yang meninggal dunia pada tahun 1688.

3. Ayutthaya kemudian bertindak balas dengan menghantar tentera yang diketuai oleh Phraya Ratchabangsan, seorang Laksamana yang juga berketurunan Melayu, untuk menyerang Ligor.

4. Ligor kemudian dikepung selama 3 tahun,  dan Phraya Ram Decho tidak mampu bertahan. Beliau kemudian telah merayu kepada Phraya Ratchabangsan agar membantunya untuk melepaskan diri, kerana dinyatakan mereka sebenarnya sahabat lama dan sama-sama pernah berkhidmat sebagai tentera di bawah Raja Narai.

5. Phraya Ratchabangsan kemudiannya telah membantu Phraya Ram Decho dan para panglimanya untuk berundur pada tahun 1692. Tindakan Phraya Ratchabangsan ini kemudiannya diketahui dan beliau kemudian dihukum pancung. Ligor kemudian diperintah oleh Gabenor lain yang dilantik oleh Ayutthaya.

6. Raja Musika pula merupakan Gabenor Ligor yang telah mengisytiharkan kemerdekaan Ligor sewaktu kejatuhan Ayutthaya akibat serangan Burma pada tahun 1767.

7. Beliau pada asalnya bernama Luang Naisit dan bergelar Phra Palat Nu, dan berketurunan pemerintah Ligor yang terdahulu. Tetapi tidak dinyatakan dengan jelas kerana terdapat ramai pemerintah Ligor yang berbeza sebelumnya. Beliau mengiystiharkan dirinya dengan gelaran Raja Musika dan mendapat sokongan dari Chumphon, Chaiya, Songkhla dan Phattalung.

8. Raja Thaksin dari Kerajaan Thonburi kemudian menghantar tentera ke Ligor pada tahun 1769 dan berjaya menewaskan Ligor. Raja Musika melarikan diri ke Patani tetapi kemudian diserahkan kembali kepada Siam bersama-sama dengan Raja Songkhla dan Raja Phattalung.

9. Raja Thaksin tidak mengapa-apakan Raja Musika dan membenarkan beliau terus hidup di Thonburi. Beliau kemudiannya turut terlibat dengan kempen ketenteraan Raja Thaksin, bahkan mempersembahkan anak perempuannya untuk dijadikan sebagai gundik Raja Thaksin.

10. Raja Musika kemudiannya kembali dilantik oleh Raja Thaksin sebagai Raja (Gabenor) Ligor pada tahun 1776. Ligor kemudian diperintah oleh keluarga Na Nakhon yang mendakwa berketurunan dari Raja Thaksin dengan anak perempuan Raja Musika.

11. Menurut waris Yamtuan Syarif Syah yang terdapat di Kedah, Yamtuan Syarif Syah sebenarnya merupakan mantan Raja Ligor yang telah bangun menentang Ayutthaya. Antara kisah Phraya Ram Decho dengan Raja Musika, siapakah yang lebih menepati kisah Yamtuan Syarif Syah?

12. Dan menurut warisnya lagi, ayahanda kepada Yamtuan Syarif Syah sebenarnya adalah salah seorang anak kepada Sultan Sulaiman Syah, Raja Singgora, dan tidak ada kaitan pun dengan Raja-raja Ayutthaya yang beragama Buddha sebagaimana yang cuba didakwa oleh setengah pihak yang lain.

No comments:

Post a Comment