Setiausaha MUAS 2013 hingga sekarang. Pengerusi Persatuan Pelajar Pondok Tauhid Kedah (2010-hingga sekarang) , Setiausaha Pondok Ar Rahmaniah Pondok Tuan Guru Hj Salleh Musa (2006-2012), Tim Pengerusi 2 Madrasah Ar Rahmaniah (2012-2013) Setiausaha Ulama Kawasan Sik (2012-2013) Mengajar Kitab di Masjid-Masjid dan Surau-Surau jemputan , Pendakwah Bebas. Cintakan Kitab Thurath , Cinta Perjuangan Ahli Sunnah Wal Jamaah , Cinta Ulama , Cinta Habib , Cinta Majlis ilmu , cinta perjuangan Islam
Sunday, March 26, 2017
Pondok dan ulama di Kedah
Maksud pondok di sini ialah pusat pengajian agama melalui satu sistem pendidikan di kalangan orang-orang Melayu yang pernah wujud setelah mereka menerima agama Islam. Di Kedah, Islam menjadi agama rasmi dalam tahun 531 Hijrah bersamaan tahun 1136 Masihi. Syeikh Abdullah al Yamani mengajarkan dua kalimah syahadat kepada Raja Kedah, Phra Ong Maha Wangsa atau Raja Derbar Raja dan menukarkan nama baginda menjadi Sultan Muzaffar Syah.
Agama Islam diperkembangkan oleh guru-guru agama Islam yang dikenali sebagai makhdum, maulana, syeikh atau lebai di segenap pelosok negeri. Orang Kedah masih menggambarkan zaman awal perkembangan agama ini sebagai zaman "dum makdum" maksudnya zaman yang ramai dengan makhdum - iaitu pendakwah dari Iran. Zaman dum 'makdum' maksudnya zaman yang amat lama berlalu.
Di zaman awal Islam, penganut-penganutnya diajar membaca al-Quran di rumah sendiri, di rumah guru, di surau atau di masjid, di Langgar atau di 'madrasah'. Selain dari membaca dan menghafaz ayat-ayat al - Quran, penganut Islam didedahkan juga dengan pengajaran-pengajaran atau hukum-hukum asas yang fardhu dan asas-asas ilmu tauhid, tafsir dan hadith.
Peluang untuk mendalami ilmu agama bagi yang berminat dan berkebolehan tidak disekat atau dihalang - maka terdapatlah orang-orang Melayu yang mendalami ilmu tarikat dan tasawuf. Orang-orang yang menjadi ahli tasawuf amat dihormati oleh masyarakat. Syeikh-syeikh atau maulana tarikat ini mengajar bagaimana beratib, berzikir dan bersuluk.
Seseorang penganut Islam tidak merasai lengkap Islamnya jika tidak menunaikan fardhu haji. Jadi, seseorang Islam berasa perlu mengetahui dan menyedari wujudnya umat Islam di muka bumi ini selain dari orang-orang Islam di tempatnya sahaja.
Orang-orang Melayu yang berangkat ke Makkah ramai pula yang tinggal "menahun" bertahun-tahun di sana kerana menuntut ilmu agama dan meningkatkan diri menjadi ulama supaya boleh menjadi guru apabila pulang ke tanah air kelak. Ada pula yang melanjutkan agama ke Kaherah, Damsyik dan Baghdad. Biasanya orang-orang Melayu dahulu akan membentuk diri mereka menjadi 'lebai' sebelum menjadi haji atau ulama.
Asalnya perkataan 'lebai' ini ialah nama suatu kaum di India Selatan. Kaum "Labbai" ini beragama Islam dan bertalian darah dengan orang Arab. Orangnya kuat beribadat dan pandai berniaga. Sebilangan kecil dari mereka telah datang ke Kepulauan Melayu dan bercampur -baur dengan orang-orang tempatan. "Labbai" itu dilekatkan pada nama mereka umpamanya Ahmad Labbai bin Sultan Labbai. Sesiapa sahaja yang alim dengan ilmu agama tetapi belum menunaikan fardhu haji di Makkah, semuanya digelarkan 'lebai' oleh orang-orang Melayu. Orang-orang yang menerima pendidikan di pondok-pondok semuanya digelar "Lebai"
Untuk menjadi "lebai" seseorang hendaklah belajar ilmu agama bersungguh-sungguh dari guru yang alim. Memangnya tidak ada catatan di manakah mulanya tempat belajar agama di Kedah ini sungguhpun terdengar ramai nama-nama ulama disebut orang.
Pada tahun 1821 Negeri Kedah telah diserang oleh Thai dan Thai menjajah negeri ini sehingga 1842. Apabila Kedah dibebaskan semula dari belenggu Thai pada 1842, sebahagian dari Wilayahnya telah direpis untuk membentuk beberapa buah negeri kecil dan di antaranya ialah negeri Kubang Pasu.
Raja Thai menabalkan Tunku Anum menjadi Raja di Kubang Pasu sejak 1839 dan Tunku Anum berusaha memperolehi seorang mufti membantunya memerintah Kubang Pasu tersebut. Tunku Anum dapati sebuah pusat pengajian agama secara pondok masih bernafas di sebuah kampung di Kubang Pasu juga iaitu di Kampung Malau dan meminta tuan gurunya yang bernama Haji Wan Ishak bin Wan Muhammad Hashim bin Wan Abdul Baqi menjadi mufti Kubang Pasu Darul Qiam.
Sebahagian pondok yang diasaskan oleh Hj. Sulong bin Hj. CHik di Jeniang yang masih kukuh.
|
Setakat yang diketahui dengan pasti pondok atau pusat pengajian Tuan Guru Haji Wan Ishak di Kampung Malau ialah pusat pengajian Islam sistem pondok yang paling tua di negeri Kedah. Pondok itu dibukanya dalam tahun 1806. Pondoknya terpaksa dihentikan apabila beliau dilantik menjadi mufti di Kubang Pasu. Bagaimanapun sebagai mufti beliau membuka pula pondok di ibu negeri Kubang Pasu iaitu di Pulau Pisang pada tahun 1845. Pondok di Pulau Pisang masih segar bugar sekarang sebagai sebuah pusat pengajian Islam yang terulung.
Haji Wan Ishak lahir pada tahun 1771 di Malau, berhampiran pekan Jitra. Bapanya Wan Muhammad Hashim bin Haji Abdul Baqi merantau ke Kedah dari kampungnya di Cherang, Patani.
Wan Muhammad Hashim membawa diri ke Kedah bersama orang-orang lain dari Patani kerana Thai sentiasa menindas orang-orang Islam yang tinggal di sana. Wan Muhammad Hashim berkahwin dengan seorang wanita di Kampung Malau, Cik Maryam, dan tinggal menetap di Kedah. Haji Wan Ishak belajar agama di kampungnya kemudian berangkat ke Makkah melanjutkan pelajarannya di sana selama 20 tahun. Beliau balik ke Kedah pada tahun 1806, berumur 35 tahun dan membuka pondok di Kampung Malau tersebut.
Kampung Malau agak terpencil ke timur dan terselamat dari serangan Thai yang menyerang ibu negeri Kedah di Kota Kuala Kedah pada bulan November 1821. Bagaimanapun Malau dan tempat-tempat lain di sebelah timur ini jauh dari laut dan hampir dengan sempadan negeri Patani. Selepas 1815 penduduk-penduduk negeri Patani bertambah ramai membuat penghijrahan ke Kedah kerana Thai dari Bangkok membuat serangan secara besar-besaran ke atas kerajaan Islam Patani pada tahun itu.
Haji Wan Ishak menulis banyak kitab-kitab agama tetapi sayang karyanya tidak lagi ditemui sekarang ini. Pondoknya telah dua kali menerima kebakaran besar. Pada zaman ini, bukan sahaja kitab-kitab agama disalin oleh tiap-tiap orang yang belajar di pondok tetapi al-Quran al-Karim pun terpaksa disalin huruf demi huruf dengan tangan.
Tunku Anum mangkat pada 1853 dan Haji Wan Ishak masih menjadi mufti dan tuan guru DiRaja di bawah pemerintahan Tunku Ishak cucunda Tunku Anum sebagai Raja Kubang Pasu yang kedua. Tunku Ishak mangkat pada 1863 tanpa waris. Kubang Pasu dicantumkan semula dengan negeri Kedah.
Haji Wan Ishak meninggal pada tahun 1871 dan disemadikan di perkuburan Pulau Pisang. Bibit-bibit persekolahan pondok dari Patani disemai di negeri ini.
Di antara anak muridnya yang terkenal sebagai ulama besar ialah cucundanya sendiri Haji Muhammad Saleh bin Haji Muhammad Hashim iaitu anak kepada anakandanya Hajjah Fatimah. Haji Muhammad Saleh ini menyambung usaha Haji Ishak menghidupkan pondok Pulau Pisang sebagai sebuah pusat pengajian Islam yang terkenal. Seorang lagi bekas murid Haji Wan Ishak ialah Tuan Guru Haji Muhammad Noor bin Haji Abu Bakar yang membuka Pondok Tasak, di Langgar, Kedah dan dianggap sebagai seorang keramat. Anak Haji Wan Ishak bernama Haji Musa juga dianggap keramat oleh penduduk-penduduk tempatan Pulau Pisang.
Di antara pondok-pondok yang wujud dalam pertengahan KM 19 di Kedah ialah pondok-pondok yang didirikan oleh Tuan-tuan Guru seperti :-
- Tuan Haji Wan Ishak bin Haji Wan Hashim, Pulau Pisang
- Tuan Haji Muhammad Tamim, Anak Bukit
- Tuan Haji Muhammad Diah bin Muhammad, Tualang
- Tuan Haji Abdul Rashid, Pulau Bidan, meninggal 1821
- Tuan Haji Abu Bakar bin Syeikh Abdul Kadir Kadi, Alor Star.
Dalam zaman pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah (1854-1879) didapati banyak lagi pondok-pondok yang dibuka oleh ulama-ulama di Kedah. Di antara Guru-guru Pondok yang terbesar ialah :-
- Tuan Muhammad Taib al-Mas'ud al-Banjari, Titi Gajah, Mufti 1870
- Tuan Haji Muhammad Noor bin Haji Abu Abu Bakar, Pondok Tasak, Langgar
- Tuan Haji Saleh Penaga, Limbung Kapal, Alor Star
- Tuan Syeikh Moneh, Padang Pusing, Pendang
- Tuan Haji Muhammad Aji, Pumpong Alor Star
- Tuan Syeikh Wak Sa, Kota Kuala Muda
- Tuan Haji Muhammada Rejab, Kanchut, Alor Star
- Tuan Haji Muhammad Salleh bin Ishak, Kelonghoi, Kuala Kedah,1888
- Tuan Haji Ahmad Tampung bin Haji Osman, Merbuk, Kedah, 1893
- Tuan Haji Saleh, Pedu
- Tuan Haji Saleh bin Muhammad Hashim, Pulau Pisang
- Tuan Haji Muhammad Alim, Sungai Nonang, Yan
- Tuan Haji Muhammad bin Umar,Tok Haji Muhammad Tua, Alor Star,Langgar
- Tuan Haji Shaari bin Haji Taha, Pondok Tasak , Langgar
- Tuan Haji Ismail bin Haji Mustaffa Cik Dol, Gajah Mati, Pendang
- Tok Faqih, Sungai Limau
- Tuan Haji Ahmad Lalang bin Haji Ali, Yan
- Tuan Haji Saleh bin Abdul Samad, Pondok Tasak, Langgar
- Tuan Haji Abdul Rahman, Pondok Tasak, Langgar
Kadi yang bertugas di Kedah pada masa ini ialah Tuan Haji Muhammad Zain bin Haji Mas'ud, Kadi 1870 ketika kandanya Haji Muhammad Taib menjadi Mufti, Kadi negeri yang tunggal ini dibantu oleh Tuan Haji Muhammad Jaafar bin Haji Muhammad Saad Imam Besar Masjid Raja di Alor Star, Tuan Syed Ali dan Tuan Haji Muhammad Yusuf. Seorang ulama lagi yang berdamping dengan Sultan ialah Tuan Syed Abdullah al-Maghribi al-Jafri. Tuan Haji Muhammad Daim menjadi kadi pada 1900. Kadi ditugaskan mengajar agama terutamanya di masjid-masjid tetapi tiada membuka pondok. Pada masa ini Tuan Haji Idris Keramat giat berdakwah di Tualang, tetapi beliau juga tidak membuka pondok
Sistem persekolahan pondok bukan sahaja menjadi pusat pengajian ilmu tetapi juga menjadi pusat kepada pelbagai aktiviti kehidupan orang-orang Melayu di Kedah. Persekolahan pondok pada masa ini ialah pusat kehidupan orang Melayu. Maju mundurnya sesuatu pondok itu berkaitan rapat dengan maju mundurnya pendidikan dan penghidupan di sesuatu daerah. Persekolahan pondok kadang-kadangnya terdiri di tengah-tengah pusat pentadbiran dan mempengaruhi persekitarannya, kadang-kadang wujud berasingan membentuk persekitarannya sendiri.
Di pondok, murid-muridnya bukan sahaja diajar pelajaran agama, tetapi juga pelajaran menulis, membaca dan mengira dalam bahasa Melayu. Orang-orang pondok pandai membaca syair, hikayat, menulis surat dan menyalin kitab-kitab yang dikaji kerana tidak ada perusahaan cap-mengecap kitab atau buku seperti sekarang. Di pondok juga orang belajar bersilat dan belajar menjadi dukun atau bomoh. Di pondok juga pelajar-pelajar atau penghuninya digalakkan membantu kerja-kerja di sawah di sekitar pondok, berniaga secara kecil-kecilan dan bertukang.
Pondok-pondok di Kedah menerima pelajar-pelajar bukan sahaja dari Kedah sendiri tetapi juga dari luar negeri iaitu dari Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Perlis, Melaka, Johor, Perlis, Pahang dan lain-lain tetapi juga dari luar negara seperti dari Indonesia, Thailand, Singapura dan Brunei.
Pondok dibuka kepada pelajar-pelajar lelaki dan perempuan, tua dan muda, dan pelajarnya dibolehkan memilih matapelajaran-matapelajran yang disukai dan diminatinya dan memilih sendiri peringkat ilmu yang sesuai dengan keupayaan dan kemampuan masing-masing. Sesetengahnya mengumpul ilmu pengetahuan melalui bahasa Arab, sedangkan keseluruhannya mengumpul ilmu pengetahuan melalui bahasa Jawi atau bahasa Melayu. Pelajar-pelajarnya tidak dikehendaki membayar sebarang yuran : Diajar dan belajar kerana Allah semata-mata.
Sistem persekolahan pondok zaman dahulu amatlah berbeza dengan sistem pendidikan sekolah atau madrasah. Sekolah atau madrasah mempunyai sistem yang tersusun dari segi sukatan pelajaran, dan cara menaiki kelas dan perubahan saban tahun. Pelajar di pondok diberi peluang untuk mengulang beberapa tahun kerana mendalami sesuatu ilmu atau sesuatu aspek ilmu. Seseorang itu boleh tinggal lebih lama di pondok jika difikirnya dia perlu mendalami ilmunya dari seseorang tuan guru. Masa tidak terhad. Tuan Guru hanya mengubah atau menghabiskan sebuah kitab untuk mengkaji isi kitab lain.
Pendeknya pelajar-pelajar yang datang ke persekolahan pondok tidak dihadkan umur atau jantina. Mereka diletakkan di pondok-pondok yang berasingan dari pondok-pondok kelamin.
Pondok tidak menentukan pelajar-pelajarnya mengambil peperiksaan atau sebarang ujian. Kebolehan mereka dinilai oleh guru sendiri dan akuan guru merupakan sijil atau syahadah yang diterima dan tidak ditolak oleh mana-mana pihak pun.
Pelajar-pelajar dikehendaki membuktikan yang mereka berilmu dengan cara membuat seberapa banyak amalan yang selari dengan muatan ilmu yang mereka punyai : Bukan sijil atau syahadah, tetapi amalan mereka sehari-hari yang menjadi ukuran.
Jadi, pondok tidak mempunyai konsep mengejar gred atau point dan tidak ada konsep keciciran seperti yang didapati di dalam sistem pendidikan sekular moden.
Jadual waktu perharian di pondok bermula dengan sembahyang subuh berjemaah di balai (surau) diikuti dengan kuliah subuh sejam atau dua jam. Selepas itu pelajar bebas membuat kerja masing-masing. Ada yang mengambil kesempatan mentelaah kitab atau mengulangkaji isi kitab dengan rakan-rakan di bawah pimpinan seorang 'kepa tela' ah' yang dilantik oleh Tuan Guru. Kadang-kadang diadakan pula kuliah pagi dari pukul 9.00 hingga pukul 11.00 pada hari-hari tertentu dalam seminggu itu untuk para pelajar pondok dan juga untuk orang-orang kampung atau orang-orang luar.
Sembahyang Zohor dan Asar hendaklah dilakukan secara berjemaah seberapa yang boleh. Kuliah dimulakan pula selepas sembahyang Maghrib hingga masuk waktu Isyak. Sembahyang Maghrib, Isyak dan Subuh adalah dimestikan berjemaah di balai.
Aktiviti-aktiviti sosial dan agama seperti sembahyang jenazah, sembahyang tarawih, kenduri kendara, perayaan Maulid, sah khatam Quran dan lain-lain diberi keutamaan. Cuti penggal persekolahan pondok berlangsung di dalam bulan puasa, musim menuai padi atau masa-masa ketiadaan Tuan Guru kerana menziarahi saudara maranya atau kerana berangkat ke Makkah tanpa menunjukkan pengganti sementara.
Dalam persekolahan pondok tersirat ciri-ciri "pendidikan seterusnya". Ciri-ciri ini hanya terdapat di persekolahan pondok dan tidak mudah dilihat di pusat-pusat pengajian sistem yang lain. Inilah ciri-ciri yang diidamkan oleh orang-orang barat sebagai "prinsip-prinsip universal" yang mereka belum berjaya mencapainya.
Persekolahan pondok biasanya ditegakkan oleh ahli-ahli dalam masyarakat setempat secara membiayai dan membantu penghayatan pondok itu melalui seseorang tuan guru yang disanjung oleh masyarakat tersebut. Tuan guru yang membuka pondok itu boleh merupakan seorang anak tempatan atau anak dari tempat lain ataupun seorang yang alim dari Patani atau dari Indonesia.
Guru-guru mencurahkan khidmat untuk mengajar, mengarah, mentadbir pondok, menentukan sukatan pelajaran dan jenis kitab yang hendak dibuat kajian serta mengurus kehidupannya secara berdikari dan berdakwah fi sabil Allah secara percuma dengan ikhlas dan rela tanpa gaji atau sebarang ganjaran. Tuan-tuan guru biasanya memperolehi bantuan dan kerjasama pelajar-pelajar yang tertua bagi melicinkan penghayatan dan aktiviti pondok khususnya di balai atau surau tempat belajar.
Persekolahan pondok boleh bergerak sebagai suatu pusat penghidupan baru di satu-satu daerah atau mengukuhkan penghidupan yang sedia ada. Dengan itu, penghulu, ketua kampung, hartawan, dermawan, ibu bapa pelajar-pelajar di pondok, ahli-ahli kerabat DiRaja atau pembesar memberi sokongan kuat kepada persekolahan pondok supaya maju hidupnya dan terus berjasa.
Kemajuan sesebuah persekolahan pondok pada zaman dahulu bergantung kepada kehebatan seseorang Tuan Guru yang menerajui perjalanan sesebuah pondok di sesuatu tempat itu
Perkataan 'pondok' asalnya dari perkataan Arab "funduk" yang bererti rumah tumpangan atau rumah perhentian sementara. Ini menggambarkan sistem persekolahan yang mana pelajar-pelajarnya mendirikan rumah-rumah kecil sebagai tempat tinggal sementara sambil belajar. Biasanya rumah-rumah kecil ini didirikan oleh ibu bapa atau waris setiap pelajar berhimpit-himpit mengelilingi rumah tuan guru di sesuatu pondok itu. Di Jawa pusat pengajian begini dipanggil "Pesantren' dan di Sumatera sebagai "Rengkum". "Funduk" yang bererti tempat tinggal sementara itu sekarang difahamkan juga di Timur Tengah sebagai "hotel". Sistem pondok seperti yang terdapat di Nusantara tidak wujud di Timur Tengah. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan ramainya alim ulama yang menjadi tuan-tuan guru di persekolahan pondok di Negeri Kedah. Salah satunya ialah kerana menjadi penghijrahan orang-orang Melayu Patani di Thailand Selatan yang telah lama mengamalkan persekolahan agama secara pondok di sana. Ulama-ulama yang ditindas atau disekat kebebasan berdakwah di sana oleh pemerintah Thai merasai perlu berhijrah ke Kedah, Kelantan, Terengganu dan ke Pulau Pinang, malahan ada sesetengahnya yang berhijrah ke Makkah di Arab Saudi atau ke Timur Tengah. Ulama-ulama Patani membawa pengaruh baru ke Kedah khususnya ke atas rupa dan corak pendidikan agama di Negeri Kedah. Penghijrahan orang-orang Patani ke Kedah berlaku sepanjang masa sejak tumbangnya Kerajaan Ayutthaya pada 1778 lagi. Tetapi penghijrahan yang besar hanya berlaku di antara 1815 dengan 1833 iaitu ketika Kerajaan Thai di Bangkok menyerang kesultanan Patani habis-habisan. Pengaruh dari Aceh tidak ada di Kedah selain dari beberapa buah kitab agama yang dikarang oleh beberapa ulama Aceh dan dibuat bahan kajian di pondok-pondok di sini. Ulama-ulama Aceh yang membuka persekolahan pondok di Yan itu semuanya untuk orang-orang Aceh yang tinggal di Yan itu sahaja dan bukan untuk orang-orang Kedah yang tidak memahami Bahasa Aceh. Di antara ulama Aceh yang terkenal datang membuka pusat pengajian di Yan, Kedah pada 1900 ialah Tengku Mohamad Arshad yang dikenali sebagai Tengku di balai kemudiannya disusuli oleh Tunku Haji Musa, Tengku Lam Surau dan Tuan Syeikh Umar. Tengku Lam Uu pada tahun 1910. Kemudian tiba pula Tengku Haji Muhamad Dahan al-Hafiz pada 1920. Ulama Aceh ini berbakti hanya kepada orang-orang Aceh yang tinggal di Yan sahaja dan tidak kepada seluruh penduduk Kedah.
Selain dari melakukan penghijrahan ke Kedah dan membuka pusat-pusat pengajian di sini, ramai pula orang-orang Kedah yang merantau ke Patani menyambung pelajaran agama mereka di pondok-pondok di Patani. Kerana pengaruh Patani turut dirasai di Kelantan dan di Terengganu serta di Makkah, maka apabila orang-orang dari Kedah menyambung pelajaran agama mereka ke Kelantan atau ke Terengganu atau ke Makkah, masing-masingnya tidak terlepas dari pengaruh ulama-ulama Patani. Walau bagaimanapun pusat pengajian yang paling dihormati ialah di Masjidil Haram di Makkatul Mukarramah iaitu tempat ulama seluruh dunia Islam berkumpul bersama ahli ilmu sufi, ahli falsafah, ahli bahasa Arab dan sejarawan Islam menukar maklumat dan pendapat. Ulama-ulama Patani memanjangkan pengaruh mereka ke Kedah dan juga ke merata-rata tempat di Nusantara melalui kitab-kitab agama yang mereka karang atau terjemahkan ke bahasa Melayu dari kitab-kitab ulama Arab. Kitab-kitab mereka amat popular di pondok-pondok. Di antara kitab-kitab ulama Patani itu ialah seperti karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fatani dan Tuan Guru Wan Ahmad bin Wan Muhammad Zaid bin Mustaffa al Fatani serta lain-lain. Nama-nama kitab yang menjadi buah mulut ialah seperti" Kifayat al-Muhtaj, Bulugh al Maram, Al Durr al-Thamin, Kasyf al Ghummah, Minhaj al 'Abidin, munyat al Musalli, Furu'al Masail Bughyat al Tullab dan lain-lain karya Syeikh Daud al Fatani di samping Bisyarat al-Amilin, Hadiqatul Azhar, Kitab Wirid dan Doa serta lain-lain lagi karya Tuan Guru Wan Ahmad Muhammad Zain al Fatani dan juga karya-karya ulama Patani lain. Faktor kedua yang menyebabkan banyaknya persekolahan dibuka di sini mungkin kerana Kedah ialah salah sebuah negeri yang mempunyai kawasan sawah padi yang luas. Sungguhpun Kedah menghasilkan padi sejak zaman Empayar Melaka lagi tetapi penumpuan kepada kerja-kerja bersawah dan menentukan padi menjadi hasil negeri yang utama ialah di dalam zaman Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin yang memilih bandar Alor Star menjadi ibu negeri dalam tahun 1736. Sejak itu, Alor Star muncul di tengah-tengah sawah yang jauh lebih luas dari zaman-zaman sebelumnya. Pelajar-palajar yang menumpang di pondok-pondok mengelilingi pusat-pusat pengajian agama diberi peluang membantu petani-petani di sawah ketika tenaga mereka diperlukan sambil mengumpul pendapatan membantu persekolahan mereka di pondok-pondok mereka. Kebanyakan pondok-pondok mengambil cuti panjang di musim-musim menuai sebagai memberi peluang kepada pelajar-pelajar untuk bekerja di sawah-sawah. Selain dari menerima upah dan ganjaran, mereka pula diberikan zakat dan sedekah oleh tuan-tuan punya sawah. Mukim Langgar dekat Alor Star yang menjadi pusat persawahan yang amat luas menjamin pertumbuhan sembilan buah persekolahan pondok di sekitarnya. Persekolahan Pondok yang paling awal di Mukim Langgar ialah Pondok Tasak di bawah Tuan Guru Haji Muhammad Noor bin Abu Bakar (Tuan Mad Nor Keramat), dan disambung pula oleh Tuan Guru Haji Shaari bin Haji Taha. Keduanya ialah Pondok Tuan Haji Ahmad Tua di Alor Setol dan disambung hayatnya oleh Tuan Guru Haji Nawawi bin Haji Saleh. Ketiganya ialah Pondok Tuan Guru Haji Abu di Alor Keladi. Kemudian terdapat pula Pondok Tuan Haji Ahmad bin Haji Yassin (Tok Janggut) di Langgar Satu, Pondok Tuan Haji Husin bin Haji Saleh berhampirannya, Pondok Tuan Syeikh Abdullah Masri di Tanjung Inggeris dan Pondok Tuan Haji Abdullah bin Haji Yusof (Haji Abdullah Kechik) berhampirannya, kemudian terdapat pula Pondok Tuan Haji Dahlan di Jalan Makam dan Pondok Tuan Haji Muhammad Marzuki bin Muhammad Amin di persimpangan Jalan Makam itu. Seperti biasa, setengah dari pondok-pondok ini menjadi tempat perlindungan orang tua-tua yang belajar di pondok-pondok ini sehingga mereka meninggal dunia di situ
|
al-Marhum Dato’ Mursyid Diraja al ‘Allamah Syeikh Haji Tajuddin bin Syeikh Abdul Rahman - bekas Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan (1995-1999)
Al Marhum Dato’ Haji Tajudin dilahirkan di belakang Kilang Ais, Seberang Perak, Alor Setar, Kedah Darul Aman, pada 27 Ramadhan 1343H bersamaan dengan 18 September 1924M. Nama penuh beliau ialah Haji Tajudin bin Syeikh Abdul Rahman al-Jarumi. Beliau adalah anak Syeikh Abdul Rahman yang ke 8 daripada 11 orang adik-beradik. Beliau juga mempunyai 2 orang saudara seibu. Gelaran al-Jarumi[1] adalah disabitkan dari gelaran datuknya iaitu Tok Syeikh Jarum (1849 -1911)[2], salah seorang ulamak yang terkenal di Kedah dan Nusantara pada abad yang ke 19 yang juga merupakan guru kepada baginda Sultan Abdul Hamid Halim Shah. Nama sebenar Tok Syeikh Jarum ialah Syeikh Wan Idris bin Wan Jamaluddin bin Syeikh Wan Abdul Latif bin Syeikh Wan Shamsuddin bin Syeikh Wan Muhammad Faqih bin Syeikh Wan Muhammad Yasin bin Syeikh Ibrahim Al Hadrami bin Syeikh Ibar al-Hadrami al-Jarmi atau lebih dikenali umum sebagai Syeikh Jamaluddin al Kubro. Bapa Dato’ Haji Tajudin iaitu Syeikh Abdul Rahman al-Jarumi[3] adalah seorang ulama yang sangat terkenal di Alor Setar. Bapanya telah membuka pondok di Batu 1, Jalan Sungai Korok, Alor Setar. Bapanya juga menjadi guru kepada Baginda Sultan Abdul Hamid dan Sultan Badlishah serta kerabat-kerabat. Ibu beliau Nik Rahmah (Nik Doh) binti Nik Abdul Manaf adalah seorang guru al-Quran dan merupakan kerabat Raja Teluban salah sebuah Wilayah di Patani. Semasa zaman kanak-kanak beliau memperolehi pendidikan awal dipondok ayahnya sendiri iaitu di pondok Batu 1. Di samping belajar menulis dan membaca, beliau juga diajar menghafaz matan dan fardhu ‘ain. Manakala ilmu-ilmu al-Quran adalah diperolehi dari ibunya sendiri iaitu Nik Doh. Setelah mencapai usia remaja iaitu ketika berumur 10 tahun beliau dihantar oleh ayahnya ke Makkah untuk melanjutkan pelajaran menengah dan tinggi. Ketika di Makkah beliau dihantar belajar di Sekolah Tinggi Darul Ulum iaitu 3 tahun di peringkat menengah rendah (1933-1935)[4] dan 4 tahun peringkat menengah atas (1936-1942). Beliau kemudiannya menyambung pelajaran di peringkat tinggi selama 2 tahun (1943-1944) hingga mendapat syahadah ‘Aliah. Beliau turut mendalami ilmu-ilmu agama di Masjid Al Haram Makkah selama 3 tahun iatu (1943-1945). Ketika di Darul Ulum beliau mempelajari ilmu-ilmu agama, Bahasa Arab dan pelajaran lain seperti Mantik, Matematik dan Sains. Di antara pelajaran-pelajaran agama yang beliau pelajari di sini termasuklah Ilmu Feqah, Faraid, Usul Feqah, Qawaid Feqah, Tafsir, Ulum Quran, Hadith, Mustolah, Tauhid, dan Sejarah Islam. Manakala pelajaran-pelajaran Bahasa Arab pula ialah seperti Nahu, Sorof, Insyak, Mutolaah, ‘Arudh, Nusus, Adab dan Balaghah. Ketika di Masjid al-Haram pula beliau mendalami ilmu Feqah, Usul Feqah, Tauhid, Tafsir, Hadith dan Tasawuf. Semasa di dalam kelas beliau digelar oleh gurunya Sheikh Muhammad Yasin al-Fadani dan rakan-rakannya sebagai Taj as Sabki kerana kebolehan beliau yang tinggi dalam membaca dan memahami dengan baik kitab usul Feqah yang mashur iaitu Jam’u al Jawami’ karya Imam Tajuddin As Sabki ialah ulama’ besar dalam ilmu perundangan Islam. Kitab ini menjadi rujukan utama di pusat-pusat pengajian tingi hingga sekarang. Selain Syeikh Muhammad Yasin al-Fadani yang merupakan guru utamanya yang juga seorang ulama hadith yang sangat masyhur di Makkah dimana Dato’ Haji Tajudin menerima ijazah sanad-sanad Hadis dan kitab-kitab Mu’tabar yang menjadi sumber rujukan di dalam ilmu-ilmu Islam dari gurunya itu, beliau turut berguru dengan Syeikh Hasan al-Masyalt, Syeikh Ali al-Maliki, Syeikh Husain al-Maliki, Muhaddith Hijaz al-Hafiz Syeikh Omar Hamdan al-Mahrisi, Syeikh Shafie Kedah, Syeikh Ismail Abdul Qadir al-Fathani, Sayyid Muhammad Amin al-Qurtubi, Sayyid ‘Alawi bin Sayyid Abbas al-Hasani, Syeikh Zain al-Boyani, Syeikh Yaakub bin Abdul Qadir al-Mandili dan Syeikh Husain Abdul Ghani al-Falimbani. Beliau sangat rapat dengan gurunya yang utama itu sehingga selepas pulang ke tanahair pun, beliau sentiasa berhubung dengan gurunya itu. Setelah pulang dari Makkah pada awal tahun 1946 dalam usia 21 tahun beliau berkahwin dengan Puan Siti Zubaidah binti Ismail 18 tahun.[5]Perkahwinan ini menghasilkan 9 orang cahaya mata. Anak ketiga beliau Faiqah meninggal dunia ketika berumur 4 tahun setelah terjatuh ke dalam perigi berdekatan dengan rumahnya. Anak beliau yang masih ada ialah lapan orang iaitu: Fauziah, Ahmad Shafik, Ahmad Najib, Saulah, Mahmud Pathi, Zakiah, Mohd Jamil Sadaqi dan Muhammad Farid Wajdi. 7 orang anaknya telah mencecahkan kaki ke pusat pengajian tinggi. Daripada itu tiga daripadanya telah berjaya mencapai ke peringkat ijazah Sarjana atau Master. Pada tahun 1946 beliau mula mengasaskan Madrasah Nahdhah Hasanah, di Melele. Beliau dilantik oleh penduduk-penduduk setempat menjadi mudir yang pertama hingga sekarang. Pendorong utama beliau untuk menerima jawatan ini ialah ayahnya sendiri Syeikh Abdul Rahman dan isterinya Siti Zubaidah. Murid-murid pertama yang diterima masuk ke sekolah adalah seramai kira-kira 13 orang yang terdiri daripada anak tempatan. Di antara mereka ialah Abdul Halim bin Imam Lebai Salleh, Ramli bin Toha, Aishah binti Abdul Hamid, Hashim Naim bin Othman, Tom binti Ismail, Yahya bin Jusuh, Intan binti Mat Arif dan Bakar bin Ahmad. Ahli Jawatan kuasa Lembaga Tadbir sekolah yang pertama ditubuhkan pada masa itu ialah terdiri daripada Tuan Imam Lebai Salleh, Tuan Haji Darus Arshad, Cikgu Shaari bin Abu Bakar (Setiausaha Pertama), Cikgu Ismail bin Ahmad, Cikgu Talib bin Din, Haji Othman bin Idris, Haji Jusuh bin Idris (bendahari pertama), Haji Mat Arif bin Jusuh. Guru awal yang dilantik bagi membantu Tuan Guru Haji Tajuddin ialah Ustaz Zainal Abidin dan Ustaz Haji Ahmad. Setelah itu guru-guru sekolah ini di ambil dari kalangan bekas-bekas penuntut sekolah ini. Mereka terdiri daripada Ustaz Nayan, Ustaz Hashim Ishak, Ustaz Kasim Lebai Man, Ustaz Salleh bin Sutan dan Ustaz Hashim Naim. Pada tahun 1368 bersamaan 1949 sekolah ini telah didaftarkan secara rasmi dengan Majlis Agama Islam Negeri Kedah oleh Pendaftar Sekolah-sekolah Agama pada masa itu iaitu Syeikh Mahmud dengan nama Madrasah Nahdhah al-Hasanah atau Sekolah Menengah Agama Nahdhah Hasanah. Nama sekolah ini diilhamkan oleh Kadhi Kubang Pasu pada masa itu iaitu Tuan Haji Ahmad bin Yasin. Berdasarkan lokasi semasa, sekolah ini berada di tengah perjalanan antara Bandar Jitra ke Kodiang. Madrasah ini kini dipimpin oleh anak Dato’ Haji Tajudin iaitu Syeikh Muhammad Farid Wajdi sebagai pengetua.[6] Peringkat awal penubuhan Madrasah Nahdhah Hasanah adalah sungguh mencabar kerana pimpinan madrasah terpaksa berjalan berbatu-batu merentasi hutan, paya dan sungai untuk berdakwah sambil memperkenalkan sekolah yang baru ditubuhkan disamping berusaha mendapat sokongan moral dan wang ringgit. Untuk membangunkan Madrasah, Haji Tajudin dibantu oleh Tuan Imam Lebai Salleh iaitu Imam Masjid Melele, dan beberapa orang lagi. Rumah yang mula-mula di duduki hanyalah pondok kecil yang bertiang dan berlantai kayu bulat, berdinding pelepuh dan beratap rumbia. Keadaan masyarakat pula kebanyakannya agak jahil dimana mereka mengamalkan kepercayaan tahyul, tok keramat, khurafat dan syirik. Keramat Tok Melele dipuja apabila datang musim menuai. Berjudi laga ayam dan kerbau adalah amalan kebiasaan penduduk pada masa itu. Bermula dari cabaran inilah beliau berazam untuk mengubah keadaan fizikal kawasan dan mengubati kepincangan yang berlaku di dalam masyarakat. Selain daripada menumpukan pengajaran di sekolah atau pondoknya, beliau juga berdakwah diluar dengan mengajar di beberapa tempat di sekitar Alor Star termasuk istana. Di antara kitab yang beliau gunakan di dalam pengajaran beliau ialah kitab Syarah al-Hikam Ibnu Atoillah karangan Tokku Pulau Manis, Minhaj Al ‘Abidin karangan Imam al-Ghazali, Bughuyah At Tullab karangan Syeikh Daud al-Fathani, Kasyhful Litham karangan Syeikh Zainal Abidin al-Fathani, Sairus Salikin karangan Sheikh Abdul Samad al- Falimbani, Aqidah An Najin karangan Syeikh Zainal Abidin al-Fathani, Hidayatus Salikin karangan Syeikh Abdul Samad al-Falimbani, Sabilul Muhtadin karangan Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dan Bakurah Al Amani karangan Syeikh Ismail Abdul Qadir al-Fathani yang merupakan kitab-kitab Jawi. Manakala kitab berbahasa Arab pula ialah Majmu’ an-Nawawi Syarah al-Muhazzab karangan Iman Nawawi, Jam’u al Jawami’ karangan Imam Tajuddin as-Sabki, al-Hikam Ibnu Atoillah Syarah Ibnu ‘Ibbad, Ihya Ulum ud Din karangan Imam al-Ghazali, Tafsir Ibnu Kathir dan Riadus Solihin karangan Imam Nawawi. Setelah berdakwah secara lisan serta menglibatkan diri dalam dakwah dan keagamaan sama ada peringkat negeri atau kebangsaan, beliau juga terlibat dalam penghasilan karya-karya penulisan. Antara karya-karya beliau berbentuk penulisan ialah:
1- Rahsia Sembahyang – terbitan Majlis Agama Islam Kedah
2- Doa’ Pagi Dan Petang – terbitan Majlis Agama Islam Kedah
3- Perhimpunan Ibadat Qiyamullail – terbitan Majlis Agama Islam Kedah
4- Rahsia Haji – diterbitkan sendiri untuk kuliah ibadat haji beliau.
5- Dan beberapa risalah lain.
Pengalaman dan ilmunya yang luas menyebabkan beliau telah dilantik memegang jawatan-jawatan penting samada diperingkat negeri mahupun kebangsaan seperti;
1- Ahli Majlis Agama Islam Negeri Kedah – semenjak 1960an hingga 2000.
2- Ahli Jawatankuasa Zakat Negeri Kedah – semenjak 1970an hingga 2000.
3- Ahli Majlis Fatwa Negeri Kedah – semenjak 1980an hingga 2000.
4- Ahli Jawatankuasa Ibadat Haji, Lembaga Urusan Tabung Haji - 1994 hingga 2000.
5- Pakar Rujuk Ibadah Haji di Makkah – 1995 hingga 2000.
6- Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan – 1995 hingga 1999.
7- Ahli Majlis Agama Kebangsaan – 1995 hingga 1999[7]
Anugerah yang diterimanya atas sumbangan dan jasanya ialah seperti
1- Pingat Jasa Kebaktian PJK, oleh DYMM Sultan Kedah – tahun 1969.
2- Ahli Mahkota Kedah AMK, oleh DYMM Sultan Kedah – pada 10/1/1980.
3- Ahli Mangku Negara AMN oleh Yang Dipertuan Agung – pada 4/6/1980.
4- Dato’ bergelar Dato’ Mursyid Diraja oleh DYMM Sultan Kedah – pada 17/1/1988.
5- Anugerah Pendidik Jaya Negeri Kedah – pada Hari Guru tahun 1991.
6- Anugerah Perkhidmatan Cemerlang oleh Majlis Agama Islam Negeri Kedah – tahun 1993.
7- Darjah Kebesaran Negeri Kedah iaitu DSDK (Dato’ Setia Diraja Kedah) oleh DYMM Sultan Kedah - pada 23/1/1994.
8- Anugerah Tokoh Guru Kubang Pasu - pada 23 Mei 1998.
9- Bintang Kebesaran Orang Besar Enam Belas – Hari Keputraan DYMM Sultan Kedah tahun 2000.
10- Tokoh Maal Hijrah 1421H/ 2000M peringkat negeri Kedah.[8]
Dato’ Haji Tajudin juga dikatakan mahir menggunakan komputer. Sejak dari hujung tahun 1980an beliau memiliki set komputer peribadi sendiri. Beliau adalah seorang yang mahir dalam menggunakan beberapa perisian komputer di antaranya ialah perisian Macintosh Mac Draw.[9] Salah seorang murid Dato’ Haji Tajudin yang menjadi ulama masyhur pada masa ini ialah Syeikh Fuad Kamaluddin al-Maliki[10], ahli majlis Fatwa Negeri Sembilan dan pengasas Sekolah Tinggi Islam as-Sofa. Selepas menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Syeikh Fuad berhijrah ke Madrasah al Nahdah al Hasanah Kedah untuk mendalami pengajian Agama dan Bahasa Arab dengan guru-guru pondok di sana. Disitulah beliau berkesempatan menimba ilmu dengan al Marhum Dato’ Mursyid Diraja al ‘Allamah Syeikh Hj. Tajudin. Sekalipun tidak lama belajar di sana, Syeikh Fuad menjadi murid kebanggaan gurunya, Dato’ Haji Tajudin dan memperolehi kejayaan yang cemerlang. Ketika berada di Mesir, beliau telah mengutus sepucuk surat kepada Dato’ Haji Tajudin di dalam Bahasa Arab. Nama dan suratnya disebut dan dibaca oleh Dato’ Haji Tajudin dalam perhimpunan sekolah dan menjadi murid contoh kepada pelajar-pelajar yang lain. Semasa menziarahi Dato’ Haji Tajudin setelah tamat pengajian di al Azhar dan membuka sekolah pondok di kampungnya, Dato’ Haji Tajudin menyatakan perasaan bangganya di atas kejayaan beliau dan jejak langkahnya yang diikuti oleh beliau. Malah Dato’ Haji Tajudin turut berpesan kepada beliau supaya mengajar kitab Hikam dan cara-cara amalan seseorang itu diterima Allah dan bukan sekadar mengajar hukum sah dan batal. Dato’ Haji Tajudin juga sempat memberikan kata-kata perangsang kepada Syeikh Fuad agar menguatkan semangat meneruskan usahanya dan memahami segala mehnah yang dihadapinya. Dato’ Haji Tajudin juga membenarkan pelajar maahad yang dipimpin oleh Syeikh Fuad mengambil peperiksaan bersama dengan sekolahnya.[11]
Akhirnya pada 11 Mei 2000 bersamaan 7 Safar 1421 hari Khamis jam 8.00 malam, Dato' Mursyid Diraja Syeikh Haji Tajudin telah berpulang ke Rahmatullah. Semoga Allah mencucuri rahmat dan hidayat ke atas rohnya.
Akhirnya pada 11 Mei 2000 bersamaan 7 Safar 1421 hari Khamis jam 8.00 malam, Dato' Mursyid Diraja Syeikh Haji Tajudin telah berpulang ke Rahmatullah. Semoga Allah mencucuri rahmat dan hidayat ke atas rohnya.
Notakaki
[1] Gelaran 'Jarum' di hujung nama Haji Wan Muhammad ldris dikatakan berpunca dari peristiwa sewaktu Raja Patani mengumpul beberapa orang ulama di istananya untuk berbincang masalah 'hukum rejam' dalam Islam. Diantara semua ulama yang hadir, Haji Wan Muhammad Idris adalah yang paling muda. Ketika Raja Patani meminta Haji Wan Muhammad ldris memberikan pendapat, beliau terus dapat menjawab dengan pintar dan tepat. Ketajaman fikiran Haji Wan Muhammad itulah menyebabkan baginda menggelarnya, 'Tok Sheikh Jarum'. Tok Sheikh Jarum atau nama penuhnya ialah Haji Wan Muhammad ldris bin Haji Wan Jamal dilahirkan pada tahun 1266 Hijrah bersamaan 1849 Masihi di Kampung Bendang, Daerah Jaha dalam Wilayah Yala, Patani.
[2] Tok Sheikh Jarum mula mempelajari pelajaran agama Islam dari gurunya yang juga merupakan ayah angkatnya bernama Haji Minai (ada juga menyebutnya sebagai Minal) atau lebih dikenali dengan panggilan Tuan Minai (Minal) atau Tok Sheikh Minai (Minal) iaitu pengarang kitab Kashful-Litham dan Aqidat Al-Najin yang sangat terkenal di Alam Melayu. Nama penuh Tuan Minai ialah Syeikh Wan Zainal Abidin bin Wan Muhammad al-Fathani bin Wan Muhammad Dahan bin Wan Syamsuddin bin Wan Ja'far bin Wan Husein bin Ali. Beliau telah membawa Tok Sheikh Jarum ke Makkah untuk menunaikan haji. Apabila Tuan Minai kembali ke tanahair, Tok Sheikh Jarum tidak ikut serta kerana beliau mahu mendalami pengajiannya di dalam bidang bahasa Arab, Usuluddin, Tafsir dan Fiqah. Sekembalinya dari Makkah, Tok Sheikh Jarum mengajar beberapa tahun di pondok Tuan Minai di Bendang Dalam, Patani. Kali kedua beliau berangkat ke Makkah ialah pada tahun 1895 dengan membawa ketiga-tiga orang isterinya dan dua orang muridnya yang berasal dari Kedah iaitu Haji Mohamad Salleh Haji ldris dan Haji Muhammad Taib. Kali ini beliau tidak tinggal lama di Makkah kerana cita-citanya ingin pulang ke tanahair untuk mengasaskan perkampungan pondoknya sendiri. Pada awal tahun 1900, Tok Sheikh Jarum bersama isteri-isterinya berangkat meninggalkan Makkah dan berniat untuk singgah di Kedah. Di Kedah, beliau tinggal di rumah seorang muridnya, Haji Awang di Pondok Kubang Siam. Berita ketibaan ulama Patani di kampung itu dan kemasyhurannya telah sampai ke pengetahuan Sultan Kedah, Sultan Abdul Hamid Halim Shah melalui Sheikh Ahmad Daim yang merupakan Kadhi Besar Kedah waktu itu. Baginda dikatakan meminta Tok Sheikh supaya menetap terus di Kedah untuk mengembangkan syiar Islam di samping menjadi Guru Agama di istana. Permintaan baginda itu diterima oleh Tok Sheikh Jarum kerana bersesuaian dengan cita-citanya. Tok Sheikh Jarum diberi kemudahan tempat tinggal di Alor Star. Namun disebabkan suasana sibuk dan hangar-bingar Alor Setar, beliau merasakan dirinya tidak sesuai tinggal disitu. Lalu beliau memohon suatu tempat atau kawasan untuk membolehkan beliau membangunkan sekolah pondoknya. Permohonannya dipertimbangkan dan diberikan satu kawasan yang terletak di Derga. Di situlah beliau meneroka dan mendirikan perkampungan pondoknya dengan bantuan orang-orang dari Kanchut, Alor Star. Dalam masa yang singkat, purata jumlah pelajarnya bertambah setiap tahun sehingga pondoknya meningkat kepada dua ratus buah. Oleh kerana pertambahan yang menggalakkan itu, Tok Sheikh Jarum membahagikan kawasan pondoknya kepada dua bahagian iaitu 'pondok luar' dan 'pondok dalam'. Di samping mengajar di pondoknya, beliau juga kerap ke istana untuk mengajar agama kepada putera-puteri diraja. Setiap kali ke istana, beliau menaiki kereta kuda khas yang datang mengambil dan menghantarnya pulang. Mata pelajaran yang diajar oleh Tok Sheikh Jarum di pondoknya termasuklah Usuluddin, Tafsir, Feqah dan bahasa Arab. Anak-anak murid Tok Sheikh Jarum ramai yang berjaya menjadi ulama terkenal di samping menjadi imam dan ada pula yang menurut jejaknya mengasaskan pondok masing-masing. Tok Sheikh Jarum merupakan salah seorang ulama yang pernah dipilih menduduki barisan Majmak Ulama Dua Belas berpusat di Masjid Zahir, Alor Star yang dipengerusikan oleh Syeikhul-lslam Kedah, Haji Wan Sulaiman Wan Sidek. Mereka berkumpul setiap malam Jumaat bermuzakarah tentang agama dan mengeluarkan sesuatu fatwa. Tok Sheikh Jarum disifatkan sebagai seorang ulama yang bertindak tegas dan teguh pendirian. Satu contoh yang dapat dikaitkan dengan sifat tersebut ialah penghijrahan beliau ke Kedah disebabkan tidak bersetuju di atas dasar pemerintahan Thai yang memaksanya mengorek sebatang taliair di kampungnya. Kira-kira sepuluh tahun selepas ia diasaskan iaitu sekitar tahun 1909 pondok itu ditakdirkan musnah dalam suatu kebakaran besar. Punca kebakaran itu dihubungkaitkan dengan pembakaran ikan terubuk kerana boleh dikatakan setiap hari rata-rata penghuni pondok itu membakar ikan terubuk. Kebakaran yang amat dahsyat itu tidak dapat dicegah kerana ianya berlaku dalam sekelip mata. Kesan yang masih tinggal dan dapat disaksikan hingga ke hari ini ialah tiga buah telaga batu di kawasan itu. Salah sebuah daripadanya masih dapat digunakan lagi airnya. Pihak kerajaan bertindak segera membina rumah-rumah panjang di kawasan itu bagi membolehkan penghuninya meneruskan pengajian. Dua tahun kemudian iaitu pada 6 April 1911, Tok Sheikh Jarum meninggal dunia ketika berusia 63 tahun. Jenazahnya dikebumikan di tanah perkuburan Derga.
[3] Meninggal dunia pada tahun 1954
[4] Mudir pada masa itu ialah Saiyid Muhsin Ali al-Masawi dari Indonesia. Setelah meninggal pada tahun 1935, jawatan mudir dipegang oleh Syeikh Zubir Ahmad selama lima tahun. Syeikh Zubir Ahmad kemudiannya pulang ke tanahair dan pernah memimpin Madrasah Idrisiyyah di Kuala Kangsar.
[5] Rujuk http://madrasah.nh.my/info-sekolah/pengasas-madrasah. Dicapai pada 27 Jun 2009
[6] Rujuk http://madrasah.nh.my/info-sekolah/pengenalan-madrasah. Dicapai pada 27 Jun 2009
[7] Rujuk http://madrasah.nh.my/info-sekolah/pengasas-madrasah. Dicapai pada 27 Jun 2009
[8] Rujuk http://madrasah.nh.my/info-sekolah/pengasas-madrasah. Dicapai pada 27 Jun 2009
[9] Rujuk http://madrasah.nh.my/info-sekolah/pengasas-madrasah. Dicapai pada 27 Jun 2009
[10] Rujuk http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0213&pub=utusan_malaysia&sec=bicara_agama&pg=ba_02.htm&arc=hive&arc=hive untuk membaca kisah menarik Syeikh Fuad Kamaluddin sepanjang beliau menimba ilmu di Tanah Arab dan penglibatan beliau dalam dakwah. Artikel menarik tentang Syeikh Fuad Kamaluddin al-Maliki ini adalah hasil tulisan Tarmizi Abdul Rahim yang dipaparkan diruangan Bicara Agama Utusan Malaysia. Terbit pada 13 Februari 2006.
Tajuk artikel: Muhammad Fuad azam hasilkan empat kitab sebulan.
PEPATAH Arab menyebut, “masa itu ibarat pedang, kalau kita tidak memotongnya ia akan memotong kita.” Itulah yang menjadi pegangan penerima Anugerah Khas Maal Hijrah 1427 peringkat Negeri Sembilan, Muhammad Fuad Kamaludin, 32. Walaupun berada di Bumi Para Anbia’ Mesir hanya selama tiga tahun enam bulan tetapi beliau memanfaatkan sepenuhnya masa itu untuk berguru dengan lebih 40 ulama terkemuka di negara itu. Istilah berguru di sini bukan seperti kaedah biasa yang diamalkan di kuliah pengajian universiti iaitu mengikut sukatan dalam dewan pengajian dengan pelajar yang ramai, sebaliknya anak muda ini berguru secara talaqqi iaitu berguru secara terus dengan para ulama berkenaan dalam kumpulan kecil untuk mendalami kitab pengajian daripada ‘kulit ke kulit’. Tidak cukup dengan itu, ulama muda ini turut berkelana menimba ilmu daripada beberapa ulama terkenal dari seluruh dunia, antaranya pakar hadis Dr. Sayyid Muhammad Alawi Al Maliki dari Mekah Al Mukarramah dan beberapa lagi tokoh dari Mesir, Syria, Yemen, Dubai dan Sudan. Apa yang istimewa, kesemua guru beliau itu bukan setakat menganggapnya sebagai anak murid kebanggaan tetapi turut mengambilnya sebagai anak angkat. Kesemua mereka memberikan tauliah khusus kepadanya untuk menyampaikan ilmu yang diperoleh itu kepada umat Islam di seluruh dunia. Dr. Sayyid Muhammad Alawi Al Maliki telah menganugerahkan gelaran keluarganya, Al Maliki, kepada beliau. “Kadang-kadang jika saya terlewat atau terlelap kerana terlalu letih, yang mulia guru-guru saya ini akan datang ke rumah untuk bertanyakan khabar dan seterusnya memulakan kelas pengajian di situ,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Sembilan, Chengkau, Negeri Sembilan. Bagaimanapun, pemegang Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang dari Universiti al-Azhar ini memberitahu bahawa beliau tidak memasuki kuliah seperti pelajar lain sepanjang berada di negara itu. Muhammad Fuad hanya berurusan sebanyak dua kali sahaja dengan pentadbiran universiti iaitu untuk membuat kad pelajar dan menduduki peperiksaan akhir universiti. “Saya bukan tidak mahu mengikuti pengajian kuliah tetapi saya ingin mengambil peluang berguru sendiri secara talaqqi dengan ulama terkenal di masjid-masjid dan rumah kediaman mereka. Sepanjang tiga tahun enam bulan berada di sana, rutin pengajian saya bermula seawal subuh sehingga larut malam setiap hari. “Saya akan pergi berguru secara terus daripada ulama dan tuan punya kitab untuk mendalami ilmu agama secara kulit ke kulit dalam pelbagai disiplin seperti al-Quran, nahu, syariah, fikah, usuluddin, tasawuf dan tauhid,” kata Muhammad Fuad yang amat memuliakan kesemua gurunya. Walaupun demikian, beliau diminta oleh rakan pelajar mengadakan sesi tuisyen khas bagi membantu mereka yang kurang memahami pengajaran di universiti. Anak bongsu daripada lima beradik dan anak lelaki tunggal kepada pasangan Kamaludin Mahat dan Zainab Mahmud itu berkata, kitab pertama yang ditulisnya ialah perbahasan dan perbincangan peribadi Rasulullah dalam bahasa Arab pada tahun 1993 selepas setahun berada di Mesir. Sehingga kini, bapa kepada enam cahaya mata itu telah menghasilkan 115 kitab pelbagai disiplin dan digunakan oleh ahli-ahli agama. Ia menjadi rujukan ulama tempatan dan luar negara. Kitab-kitab tersebut ialah tiga kitab tafsir, 19 kitab karangan hadis, sembilan kitab karangan tauhid, 14 kitab karangan fikah, sembilan kitab karangan tasawuf, enam kitab karangan sirah, 10 kitab karangan tokoh dan 44 kitab berkaitan amalan. Malah, Muhammad Fuad yang juga Ahli Majlis Fatwa Kerajaan Negeri Sembilan turut menulis 12 kitab bahasa Arab. Kitab Al Toli'al Sa'id Al Muntakhab Min Al Athbat Wal Al Asanid dan kitab al-Jawahir al- Ghawali min Asanid al-Imam al-Azhari yang berkaitan ilmu hadis diterbitkan di Mesir. Kitab itu mendapat pengiktirafan dan disahkan oleh para ulama al-Azhar, Mesir seperti Profesor Dr. Judah al Mahdi, Dekan Fakulti al-Quran dan Qiraat serta Ahli Lembaga Lujnah Tafsir al-Quran al-Azhar. Ketokohan anak muda ini bukan sahaja diperakui dalam negara. Beliau turut mendapat undangan berceramah dan pidato serta membentangkan kertas kerja di Singapura, Mesir dan Mekah di hadapan para ilmuwan Islam lain. Menceritakan proses penulisan buku, Muhammad Fuad mensyaratkan dirinya menghasilkan sekurang-kurangnya empat buah kitab sebulan. “Guru saya pernah berpesan bahawa adalah menjadi satu keaiban kepada seorang pelajar dan pemimpin ilmu yang tidak membawa bersamanya buku nota dan pen kerana setiap benda yang dilihat adalah maklumat dan ilmu berguna baginya,” katanya yang memetik pesanan gurunya, Syeikh Ghassan al Bahrimi. Beliau, bagaimanapun, mengakui dirinya terlalu kerdil dan ketinggalan berbanding ulama silam yang mampu menghasilkan beribu-ribu jilid kitab pelbagai disiplin dalam keadaan serba kekurangan berbanding muslim masa kini yang memiliki segala kemudahan dan teknologi canggih. “Sebagai contoh, Ibn Shahin menulis 33,000 kitab dan kitab tafsir sebanyak 1,000 jilid; Abu Hasan al-Asyari menulis lebih 600 jilid kitab dan ulama tafsir, Ibn Tabari juga telah mensyaratkan dirinya menulis setiap hari sebanyak 40 helai. “Tanpa elektrik, komputer dan internet, mereka masih boleh menghasilkan karya bermutu yang menjadi rujukan umat Islam seluruh dunia hingga kini. Justeru, tidak mustahil bagi kita yang memiliki segala-gala kemudahan itu untuk turut sama berbuat demikian,” katanya yang amat mengasihi Rasulullah dan keluarganya serta menolak fahaman yang menyalahi pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Selepas pulang ke Malaysia pada 1996, anak jati Kampung Chenong Chengkau, Rembau ini membuka pondok pengajiannya seluas 0.2 hektar dalam kawasan tanah milik ibunya dengan modal RM17. Ketika itu beliau berusia 22 tahun. Kini, penuntutnya semakin bertambah sehingga beliau memerlukan kawasan yang lebih besar. Maka kawasan kira-kira empat hektar di Kampung Sembilan, Chengkau telah dipilih bagi menubuhkan Surau al-Taufiqi al-Husaini. Usaha tersebut, bagaimanapun, menerima pelbagai tohmahan dan fitnah. Orang memfitnahnya mengatakannya membawa fahaman yang sesat. “Atas dasar keikhlasan untuk berdakwah semata-mata untuk keredaan Allah, maka segala cabaran dan dugaan itu berjaya diatasi dan kini masyarakat mulai dapat menerima usaha yang saya jalankan,” katanya. Muhammad Fuad tidak pernah menjadikan usia mudanya sebagai halangan untuk menyampaikan ilmu yang diperoleh daripada guru-gurunya yang bersambung terus sanad mereka dengan Rasulullah. “Saya tidak berasa tekanan. Saya percaya bahawa setiap niat ikhlas nescaya akan mendapat kekuatan daripada Allah yang disertakan sekali dengan restu dan ijazah yang diberikan oleh kesemua guru-guru saya,” ujar beliau. Beliau menekankan perasaan rendah diri dan tawaduk terhadap kekurangan diri di hadapan Allah Yang Maha Esa dengan mempercayai bahawa setiap nikmat yang diperoleh adalah segala-galanya daripada Pencipta. “Saya seboleh-bolehnya mengamalkan pendekatan ahli sufi iaitu menganggap orang tua lebih hebat kerana mempunyai banyak ilmu dan amal; orang muda lebih hebat kerana tidak banyak melakukan dosa berbanding orang yang lebih berusia; dan orang jahil lebih beruntung kerana mereka melakukan maksiat kerana tidak berilmu berbanding orang yang berilmu tetapi masih melakukan maksiat,” katanya.
Subscribe to:
Posts (Atom)