HIMPUNAN ULAMA THURATH SIRI 3

Tuesday, April 7, 2020

Raja Idris - Raja Libya

FATIM ANJUR MAJLIS MEMPERINGATI SAYYID MUHAMMAD IDRIS




KUALA LUMPUR, 7 April - Sempena memperingati tokoh ulama' Ahli Sunnah Wal Jamaah dunia, Pertubuhan Tarekat Muhammadiah (FATIM) menganjurkan majlis Haul al Arif Billah Sayyid Muhammad Idris Ibn Muhammad al Mahdi al Sanusi pada malam tadi.

Majlis yang diadakan secara "Live Streaming" itu disampaikan oleh Pengerusi FATIM, Dato' Hj Muhammad Fuad Bin Kamaludin dan mendapat hampir 2,000 tontonan orang ramai yang mengikuti secara langsung di Facebook rasmi FATIM.

Majlis dimulakan dengan bacaan al Quran diikuti dengan bacaan qasidah daripada kalam pujian Syeikh Soleh al Ja'fari terhadap Sayyid Muhammad Idris Ibn Muhammad al Mahdi al Sanusi yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Najib Bin Zakaria sebelum diteruskan dengan syarahan berkenaan Sayyid Muhammad Idris Ibn Muhammad al Mahdi al Sanusi oleh Dato' Hj Muhammad Fuad Bin Kamaludin.

Sayyid Muhammad Idris Ibn Muhammad al Mahdi al Sanusi merupakan seorang raja bertaraf ulama' di negara Libya yang dilahirkan pada hari Jumaat, 20 Rejab 1307 Hijrah (12 Mac 1890).

Ketokohan dan kehebatan Sayyid Muhammad Idris Ibn Muhammad al Mahdi al Sanusi terhadap agama mula terserlah sejak usia kecil iaitu baginda telah menghafal 30 juzuk al Quran pada umur 10 tahun di bawah pentarbiahan kedua-dua ayahanda dan bondanya.

Selama 18 tahun memerintah Libya, Sayyid Muhammad Idris Ibn Muhammad al Mahdi al Sanusi telah banyak menggadaikan nyawa dan harta demi kemuliaan dan maruah Islam tanpa mengira bumi mana yang dipijak.

Baginda juga merupakan contoh paling hampir kepada seluruh umat Islam dalam mempamerkan pengertian jihad daripada sudut menginfaqkan harta di jalan Allah SWT. Sehingga, baginda sanggup mewakafkan Istana al Manar yang diperuntukkan negara kepadanya untuk dijadikan sebagai kampus utama Universiti Libya pada tahun 1954.

Sayyid Muhammad Idris Ibn Muhammad al Mahdi al Sanusi wafat pada 13 Syaaban 1403 Hijrah (25 Mei 1983) di Kaherah ketika berusia 93 tahun.

Jangan ketinggalan mengikuti sambungan Majlis Haul al Arif Billah Sayyid Muhammad Idris Ibn Muhammad al Mahdi al Sanusi dengan kupasan Ijazah Raja Muhammad Idris al Mahdi al Sanusi oleh Dato' Hj Muhammad Fuad Bin Kamaludin yang akan disiarkan secara langsung di Facebook FATIM pada malam ini. - StraCOMM FATIM

Ulama besar dunia iktiraf keilmuan Raja Idris

HUBUNGAN ULAMA’ DUNIA ISLAM DENGAN RAJA IDRIS RA





Raja Muhammad Idris ibn Muhammad al Mahdi al Sanusi RA bukan sahaja terkenal sebagai seorang raja yang adil tetapi juga seorang ulama’ yang menjadi kiblat ulama’ dunia Islam pada zamannya terutamanya untuk mendapatkan ijazahnya yang tinggi.

Antara tokoh ulama’ dunia yang pernah mengambil ijazah daripada beliau terutamanya selepas beliau keluar dari Libya ialah:

1. Al Muhaddith Sayyid Abdullah ibn Muhammad ibn al Siddiq al Ghumari
2. Al Arif billah Syeikh Soleh ibn Muhammad al Ja’fari, Imam Masjid al Azhar.
3. Al Muhaddith Sayyid Muhammad ibn `Alawi al Maliki
4. Al Musnid Sayyid Abdur Rahman ibn Abdul al Hayy al Kattani dan ramai lagi.

Di sini, dipaparkan ijazah yang diterima oleh al Muhaddith Sayyid Abdullah ibn Muhammad ibn al Siddiq al Ghumari RA daripada beliau.

Beliau menceritakan mengenai ijazah yang beliau terima daripada Raja Muhammad Idris al Mahdi al Sanusi RA dalam kitab biografi yang beliau tulis sendiri bertajuk: Sabil al Taufiq fi Tarjamah Abdillah ibn al Siddiq, Fasal: Fi Zikr Syuyukhi (semoga Allah merahmati mereka, mengganjarkan kepada mereka keredhaanNya dan membalas mereka semua dengan kebaikan), dalam tajuk pertama: Syuyukhi min al Maghrib (Syeikh-syeikh saya dari Maghrib) halaman 251-252, no.18:

RAJA IDRIS IBN MUHAMMAD AL MAHDI IBN AL ‘ALLAMAH MUHAMMAD IBN ALI AL SANUSI AL SYARIF AL HASANI RA

“Saya pernah berkunjung ke rumah baginda di Kaherah (Mesir) selepas baginda keluar dari Libya. Baginda menyambut kedatangan saya dengan mesra sekali.

Dalam kunjungan tersebut, saya telah meminta ijazah daripada baginda lalu baginda berkenan untuk mengijazahkan saya.

Baginda mempunyai syeikh yang ramai namun saya amat teruja dengan riwayat baginda daripada nenda baginda (Sayyid Muhammad ibn Ali al Sanusi RA) kerana riwayat itu tinggi. Maka Baginda pun meriwayatkannya (kepada saya) daripada ayahandanya (Sayyid Muhammad al Mahdi al Sanusi RA, daripada nendanya (Sayyid Muhammad ibn Ali al Sanusi RA).

Nenda baginda merupakan seorang `Allamah dan mempunyai beberapa buah thabat (kitab sanad) yang sebahagiannya telah dicetak.

Nenda baginda wafat pada 1276 Hijrah di Jaghbub iaitu sebuah oasis di selatan padang pasir Libya.

Manakala Raja Idris RA wafat pada 1404 Hijrah (tarikh yang tepat ialah pada tahun 1403 Hijrah) di Kaherah pada usia hampir 100 tahun.

Baginda disemadikan di (Perkuburan Baqi’) Madinah al Munawwarah sebagaimana wasiat baginda.”

No comments:

Post a Comment